Sabtu, 20 September 2025
Iklanspot_img
UtamaSEMASALipas dalam laksa, pelanggan kecewa peniaga buat tak tahu

Lipas dalam laksa, pelanggan kecewa peniaga buat tak tahu

PUTRAJAYA – Tular dakwaan pelanggan menemui lipas dalam kuah laksa di sebuah premis makanan di sini mencetuskan perdebatan hangat mengenai tahap kebersihan restoran serta sikap peniaga terhadap aduan pelanggan.

Menurut perkongsian seorang lelaki dikenali sebagai Harun Mohd Shah di Facebook, dia terkejut apabila menemui lipas dalam kuah laksa yang sedang dinikmatinya. Namun, apa yang lebih mengecewakan apabila pekerja kedai didakwa tidak mengambil langkah sewajarnya selepas dimaklumkan.

“Sedap memang sedap, tapi bayangkan bila jumpa lipas sekali. Kami dah tegur, mereka hanya sambung berniaga macam tiada apa berlaku,” tulisnya.

Perkongsian itu segera menarik perhatian netizen yang mula berkongsi pengalaman sama di premis tersebut. Ada yang mendakwa pernah menemui bendasing lain seperti cicak di dalam kuah, selain menimbulkan persoalan sama ada kuah laksa di kedai itu disimpan terlalu lama atau tidak dilindungi dengan betul.

Bagi sesetengah pelanggan, isu berkenaan bukan sekadar soal rasa jijik, tetapi turut membangkitkan kebimbangan risiko kesihatan.

“Kalau sekali boleh masuk lipas, apa lagi yang kita tak nampak? Ini soal keselamatan makanan, bukan sekadar ‘tidak sengaja’,” kata seorang pengguna.

Susulan itu, ramai menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) serta pihak berkuasa tempatan segera melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap premis tersebut bagi memastikan tahap kebersihan dipatuhi.

Dalam pada itu, isu ini turut menimbulkan perbincangan lebih luas mengenai sikap sebahagian peniaga makanan yang didakwa memandang remeh aduan pelanggan, seolah-olah kebersihan hanya menjadi keutamaan selepas dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan