KUALA LUMPUR — Sidang Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas bermula hari ini dengan tumpuan utama diberikan kepada pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2026.
Sidang Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember depan, melibatkan pelbagai agenda penting termasuk penerangan laporan, pembentangan Rang Undang-undang (RUU), dan sesi soal jawab bersama menteri.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul, dalam ucapan pembukaannya berkata minggu pertama persidangan akan memberi fokus kepada penerangan penyata oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan serta perbahasan Laporan Ketua Audit Negara.
“Buat pertama kali, satu hari penuh diperuntukkan bagi urusan penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan, menandakan langkah penting dalam memperkukuh akauntabiliti Badan Eksekutif kepada Dewan Rakyat.
“Langkah ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat mengenai fungsi dan peranan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dalam membincangkan isu-isu semasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Johari turut menjawab dakwaan bahawa setiap RUU wajib dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Kementerian (JKPK) sebelum diluluskan.
Beliau menjelaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 80B(3)(a) hanya memperuntukkan tanggungjawab JKPK untuk meneliti RUU selepas bacaan pertama, dan bukan sebahagian daripada proses kelulusan rasmi.
“Pembentangan kepada JKPK hanyalah platform untuk mendapatkan maklum balas awal daripada kementerian, bukan syarat sah bagi kelulusan Rang Undang-undang,” tegasnya.
Beliau turut menasihatkan agar pentafsiran Peraturan Mesyuarat dibuat secara menyeluruh dan tidak selektif, bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh menjejaskan kewibawaan Dewan Rakyat.
Dalam ucapan sama, Johari turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan Persidangan Agung ke-46 ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) yang berlangsung di Parlimen Malaysia dari 16 hingga 22 September lalu.
Menurutnya, kejayaan penganjuran AIPA 46 membuktikan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah cemerlang dalam kalangan negara serantau dan pemerhati antarabangsa.
“Kerjasama erat daripada semua pihak termasuk Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai Parlimen dan media telah menyerlahkan kecemerlangan kita di mata dunia,” katanya.

