KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Nubhan Ahamad akhirnya tampil menjawab persoalan ramai berhubung keputusan untuk bercerai dengan isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut Nubhan, keputusan untuk berpisah bukan dibuat secara tergesa-gesa sebaliknya selepas melalui tempoh panjang mempertimbangkan pelbagai aspek dalam perkahwinan mereka.
“Berat sebenarnya, tapi bukan semua orang mahu perkara ini berlaku. Saya sudah lama fikirkan hal ini,” katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Dr Afifah yang mendakwa tidak mengetahui punca perceraian, Nubhan menegaskan perkara itu tidak benar.
“Dia dakwa tidak tahu punca diceraikan. Itu tidak mungkin. Saya dah pernah berbincang perkara ini banyak kali, malah pernah berjumpa bapanya untuk menceritakan masalah yang berlaku serta membawa dia berjumpa pakar rumah tangga.
Bila dia kata tak tahu punca diceraikan, itu tak wajar. Saya pun tak mahu bercakap banyak sebab bimbang perkara tak baik keluar. Kami pernah bersama selama 10 tahun, jadi biarlah saya simpan kisah ini,” ujarnya.
Tambah penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu, dia enggan mendedahkan punca sebenar perceraian kerana tidak mahu menimbulkan fitnah atau membuka aib sesiapa.
“Saya cuba bertahan selama 10 tahun dan bukan tidak pernah cuba untuk perbaiki hubungan. Selama saya jadi suami, saya tak pernah culas dengan tanggungjawab dan kasih sayang. Mungkin takdir sudah tertulis sampai di sini sahaja,” katanya lagi.
Untuk rekod, Nubhan melafazkan cerai terhadap Dr Afifah di luar mahkamah pada 26 Ogos lalu, dan kemudiannya memfailkan pengesahan lafaz talak pertama (2017), lafaz rujuk, serta talak kedua (Ogos 2025) di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Hakim Tuan Muhamad Nazri Basrawi menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan pertama dan keterangan utama pihak plaintif.



