Papa Zola The Movie cetus fenomena, berjaya kutip RM10 juta dalam masa singkat

KUALA LUMPUR – Filem animasi tempatan Papa Zola The Movie terbitan MONSTA Studio dengan kerjasama Astro Shaw mencatat kejayaan memberangsangkan apabila berjaya meraih kutipan melebihi RM10 juta sejak mula ditayangkan di pawagam pada 11 Disember lalu.

Kejayaan itu sekali gus mencetuskan apa yang disifatkan sebagai ‘fenomena kebenaran’, apabila penonton membanjiri media sosial dengan pelbagai reaksi menyentuh emosi terhadap penceritaan yang jujur dan dekat dengan realiti kehidupan golongan dewasa. Dalam masa sama, penonton muda pula terpukau dengan aksi serta visual animasi yang ditampilkan.

Pengarah dan Penulis Papa Zola The Movie yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, menzahirkan penghargaan kepada penonton dan semua pihak yang memberi sokongan terhadap filem berkenaan.

“Terima kasih kepada penonton, media dan pemamer yang menyokong Papa Zola The Movie. Kami tidak menyangka sebuah filem animasi mampu meninggalkan kesan yang begitu mendalam kepada penonton. Perkongsian dan reaksi yang diterima membuktikan ini adalah cerita kita, kisah yang lahir daripada realiti kehidupan. Kami berharap filem ini membuka ruang baharu untuk animasi tempatan tampil dengan penceritaan yang matang dan bermakna,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyifatkan sambutan penonton sebagai satu penghargaan besar buat seluruh pasukan produksi.

“Melihat reaksi penonton yang tersentuh dan berkongsi pengalaman mereka selepas menonton filem ini merupakan satu penghargaan besar buat kami. Terima kasih kepada semua penonton dan ‘pejuang kebenaran’ yang terus memberi sokongan. Menjelang cuti sekolah, kami berharap lebih ramai penonton, khususnya seisi keluarga, dapat meluangkan masa ke pawagam untuk menonton filem ini bersama insan tersayang,” katanya.

Ketika ini, Papa Zola The Movie masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem ini dijadualkan menembusi pasaran antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia, diikuti tayangan di India, Vietnam serta pasaran Timur Tengah merangkumi Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turki pada April 2026.

BACA JUGA:  Ejen Ali kuasai pawagam, jadi tontonan keluarga pilihan musim cuti sekolah
Adam Taqiuddin
Adam Taqiuddin
adamtaqiuddin@portalmyberita.com

TRENDING

“Inilah kawan dia…” – kanak-kanak bawa mainan ke kubur atuk, ramai menitiskan air mata

KUALA LUMPUR – Gelagat seorang kanak-kanak yang menziarahi pusara...

Kanak-kanak tunjuk budi pekerti, baca doa untuk tuan rumah selepas beraya

KUALA LUMPUR – Gelagat sekumpulan kanak-kanak yang membaca doa...

Penuntut UMPSA pijak al-Quran dibuang universiti

KUANTAN - Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah...

Usia 13 tahun dah pandai bagi duit raya, Shuib luah rasa bangga

KUALA LUMPUR – Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu meluahkan...

Hantaran pasangan songsang ‘Jodoh Lebaran’ tular, kerajaan negeri jalankan siasatan

MELAKA – Kerajaan negeri sedang menjalankan siasatan terhadap satu...