KUALA LUMPUR – Filem animasi tempatan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) mencetuskan fenomena luar biasa di pawagam seluruh negara apabila ribuan penonton, terutamanya ibu bapa dan anak-anak, menjadikan tayangan tersebut sebagai aktiviti wajib sempena cuti sekolah yang baru bermula hari ini.
Tinjauan di beberapa lokasi pawagam utama mendapati hampir semua tayangan awal pagi hingga malam dipenuhi penonton, malah ada yang terpaksa mencari lokasi alternatif akibat tiket yang habis dijual seawal pagi.
“Terima kasih kepada semua Ejens yang hadir. Sambutan yang kami terima kali ini sangat luar biasa. Saya dimaklumkan beberapa pawagam seperti GSC IOI City Mall Putrajaya, GSC Aman Central Kedah, TGV Toppen Johor Bahru dan banyak lagi telah penuh sejak pagi,” kata Pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin.
Selain menawarkan animasi berkualiti tinggi, filem terbitan tempatan itu turut mendapat pujian daripada ibu bapa kerana memaparkan pelbagai nilai murni yang boleh dijadikan teladan anak-anak seperti semangat kerja berpasukan, keberanian, tanggungjawab dan persahabatan.
Watak utama, Ejen Ali, digambarkan sebagai remaja yang berani dan setia, manakala hubungan eratnya bersama Ejen Alicia menyerlahkan tema persahabatan sejati yang turut diiringi lagu tema ‘Teman Sejati’ nyanyian kumpulan Nidji.
Seorang penonton, Norliah Zakaria, 36, berkata beliau tertarik dengan pendekatan cerita yang bukan sahaja menghiburkan anak-anak tetapi turut memberi pengajaran yang sesuai untuk seisi keluarga.
“Anak-anak saya bukan saja terhibur, malah selepas menonton kami berbincang tentang mesej yang disampaikan. Saya fikir ini filem animasi tempatan yang sangat berbaloi ditonton,” katanya selepas menonton tayangan di TGV Seremban 2.
Selain tayangan filem, beberapa pawagam terpilih turut mengadakan aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna, kehadiran maskot watak Ejen Ali, serta jualan eksklusif barangan rasmi yang menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Bagi yang masih tercari-cari aktiviti menarik sepanjang cuti sekolah, EATM2 kini muncul sebagai pilihan utama, bukan sahaja sebagai hiburan santai tetapi juga sebagai ruang mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Orang ramai disaran mendapatkan tiket lebih awal untuk mengelakkan kekecewaan memandangkan jumlah penonton dijangka terus meningkat dalam tempoh cuti ini.
Ejen Ali The Movie 2 kini ditayangkan di seluruh pawagam utama negara.

