BANGKOK – Biarpun baru berusia 16 tahun, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar membuktikan keberanian luar biasa apabila menewaskan tekanan hebat sorakan ribuan penyokong tuan rumah untuk meraih pingat emas muay Thai kategori 57 kilogram di Sukan SEA Thailand 2025, sebentar tadi.
Miki, panggilan mesranya, menumpaskan atlet Thailand, Sirilun Suphakon, dengan keputusan tipis 2-1. Pemuda itu mengawal dua pusingan awal dengan keputusan 10-9, 10-9 sebelum Suphakon cuba bangkit pada pusingan ketiga (9-10), namun usaha itu gagal menafikan kemenangan Miki dengan agregat 29-28.
Jojo, abang dan juga ‘pembakar semangat’ Miki di sudut gelanggang, menyifatkan kejayaan adiknya itu hasil strategi menyekat sepakan kaki kiri lawan, sekaligus mengekalkan fokus walaupun stadium bergema dengan sorakan tuan rumah.
“Bila seorang daripada keluarga masuk gelanggang, kita semua masuk gelanggang. Kalah menang sama-sama, naik turun sama-sama. Hari ini Miki buktikan dia mampu,” kata Jojo.
Kejayaan Miki melengkapkan hari gemilang skuad muay Thai negara selepas rakan sepasukan, Wassof Rumijam, turut menyumbang pingat emas dalam kategori 54kg, sekali gus menegaskan dominasi Malaysia dalam sukan ini.




