KUALA LUMPUR – Tiga kemenangan yang sebelum ini membangkitkan keyakinan terhadap kebangkitan Harimau Malaya kini hanya tinggal kenangan apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan untuk membatalkan semua keputusan tersebut susulan kes menurunkan pemain yang tidak berkelayakan.
Menerusi kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada 12 Disember lalu mendapati badan induk bola sepak negara itu telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025).
Akibat pelanggaran berkenaan, tiga perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan Harimau Malaya menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin telah diisytiharkan sebagai kekalahan 0-3, selain FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414).
Keputusan drastik itu dijangka memberi kesan besar terhadap kedudukan skuad kebangsaan yang kini berada di ranking ke-116 dunia, dengan kedudukan tersebut berpotensi menjunam apabila kemas kini terbaharu ranking FIFA diumumkan pada Jumaat ini.
Bagaimanapun, FAM memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan bertulis kepada FIFA bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung keputusan Jawatankuasa Tatatertib sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski sebelum ini mencatat keputusan seri menentang Cape Verde pada 29 Mei, diikuti kemenangan 2-1 ke atas Singapura serta 1-0 ke atas Palestin pada September lalu, namun kesemua keputusan itu kini dibatalkan secara rasmi.
Terdahulu, FIFA telah mengenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain warisan yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen turut dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) setiap seorang serta digantung selama 12 bulan sejak September lalu.
Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

