BANGKOK – Skuad basikal kejar-mengejar berpasukan lelaki negara menghadiahkan pingat paling dinantikan oleh kontinjen Malaysia apabila menyumbang pingat emas ke-200, sasaran keramat yang diletakkan sebelum temasya Sukan SEA 2025 bermula.
Gandingan mantap Abdul Azim Aliyas, Mohd. Jafri Muhammad Hafiq, Muhammad Yusri Shaari dan Newjoe Lau mempamerkan kayuhan luar biasa untuk memastikan lagu kebangsaan, Negaraku, berkumandang di Velodrom Hua Mark, Bangkok, semalam.
Dalam perlumbaan akhir yang mendebarkan, kuartet negara menewaskan cabaran tuan rumah Thailand yang dibarisi pelumba handalan Nattakrit Kaeonoi, Thak Kaeonoi, Thurakit Boonratanathanakorn dan Putipong Chaloemsrimueang, sekali gus memaksa mereka berpuas hati dengan pingat perak.
Pelumba negara, Muhammad Yusri Shaari berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras berpasukan serta persiapan rapi sepanjang kem latihan.
“Saya gembira kerana sedar Thailand tidak memberi kami kemenangan mudah, namun kami berjaya mengatasi mereka dengan cara tersendiri. Alhamdulillah, rezeki milik negara dan kemenangan ini untuk semua,” katanya.
Pingat emas tersebut melengkapkan aksi sempurna kem berbasikal trek negara pada hari pertama pertandingan apabila Malaysia turut meraih emas dalam acara keirin menerusi Muhammad Ridwan Sahrom serta satu lagi emas dalam acara scratch wanita menerusi Nur Aisyah Mohamad Zubir.
Kejayaan itu sekali gus menyuntik semangat kontinjen negara untuk terus memburu lebih banyak pingat emas dalam baki saingan Sukan SEA 2025.




