KUALA LUMPUR – Fenomena luar biasa ‘Demam Papa Zola’ terus melanda seluruh negara apabila Papa Zola The Movie berjaya mencatat kutipan box office memberangsangkan sebanyak RM43 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem animasi tempatan paling berjaya dalam sejarah perfileman Malaysia.
Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan kekuatan animasi tempatan di layar perak, malah memperlihatkan bagaimana sebuah filem mampu mencetuskan gelombang sokongan komuniti dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Seiring popularitinya, fenomena ini turut diserikan dengan pelbagai inisiatif berteraskan impak sosial menerusi penganjuran tayangan khas serta program ‘belanja wayang’ oleh pempengaruh tempatan seperti Ashhhrap, Xavier Naxa, Cikgu Marviza, Wawan Foodie, Miera Faera dan Bella Park.
Inisiatif tersebut memberi peluang kepada lebih ramai keluarga termasuk komuniti terpilih untuk menikmati Papa Zola The Movie, sekali gus mencerminkan nilai utama yang diketengahkan dalam filem ini iaitu kebersamaan, keceriaan serta sokongan komuniti merentas generasi.
Pengarah dan Penulis Papa Zola The Movie merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, berkata kejayaan filem ini amat menyentuh hati seluruh pasukan produksi.
“Dalam suasana cuti sekolah, Papa Zola The Movie menjadi ruang untuk keluarga berkumpul dan mencipta kenangan bersama. Apa yang menyentuh hati kami apabila filem ini ditonton bukan sahaja oleh ibu bapa dan anak-anak, malah atuk dan nenek turut dibawa ke pawagam. Inisiatif komuniti yang membantu lebih ramai keluarga menikmati filem ini sangat dekat dengan nilai yang kami cuba sampaikan,” katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyifatkan pencapaian RM43 juta sebagai satu kejayaan besar buat industri perfileman tempatan.
“Kejayaan ini terhasil daripada sokongan padu penonton. Walaupun pawagam kini dibanjiri filem baharu daripada francais Hollywood popular, filem tempatan masih mampu memberi saingan. Terima kasih kepada penonton, rakan media yang memberi liputan meluas serta pihak pawagam yang memainkan peranan penting. Menjelang cuti panjang hujung tahun ini, kami berharap lebih ramai penonton tidak melepaskan peluang menyaksikan Papa Zola The Movie,” katanya.
Kejayaan Papa Zola The Movie membuktikan karya animasi tempatan bukan sekadar hiburan, malah mampu berdiri setanding dengan filem antarabangsa dari segi kualiti penceritaan dan penerimaan penonton. Sokongan luar biasa rakyat Malaysia menjadi pemangkin utama kepada kejayaan ini, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi terhadap masa depan animasi tempatan.
Lebih daripada sebuah filem, Papa Zola The Movie tampil sebagai naskhah kekeluargaan yang menyatukan ibu bapa dan anak-anak melalui momen berharga sepanjang cuti persekolahan.
Filem ini mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Kehidupannya berubah apabila dia bertemu semula rakan lama daripada organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency). Keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing, memaksa Papa Zola dan Mama Zila bertindak pantas untuk menyelamatkan anak mereka serta melindungi dunia daripada ancaman besar.
Papa Zola The Movie kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei, sebelum melangkah ke pasaran antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia, diikuti India, Vietnam serta pasaran Timur Tengahtermasuk Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turki pada April 2026.

