GEORGE TOWN – Kejayaan atlet judo negara, Amir Daniel, meraih pingat emas kategori bawah 81 kilogram pada Sukan SEA Thailand 2025 bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah membuka ruang perbincangan mengenai keperluan sokongan lebih menyeluruh terhadap sukan-sukan kecil di peringkat Olimpik.
Amir Daniel berkata, meskipun judo merupakan antara sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik, tahap perhatian dan sokongan, khususnya dari segi kewangan, masih jauh berbeza berbanding sukan arus perdana seperti bola sepak dan badminton.
“Saya harap Majlis Sukan Negara (MSN) dan pihak berkaitan dapat memberi lebih perhatian kepada sukan kecil seperti judo. Walaupun kami sukan Olimpik, sokongan yang diterima tidak setanding dengan sukan-sukan utama,” katanya ketika ditemui MYBERITA di sini, hari ini.
Menurutnya, kekangan kewangan menyebabkan sebahagian besar penyertaan kejohanan dan latihan di luar negara terpaksa dibiayai sendiri oleh atlet, sekali gus memberi tekanan tambahan dari segi mental dan persiapan.
“Banyak kejohanan antarabangsa yang saya sertai memerlukan kos yang tinggi dan sebahagiannya kami keluarkan sendiri. Sedangkan pendedahan antarabangsa sangat penting untuk meningkatkan prestasi,” jelasnya.
Mengulas persiapan menghadapi Sukan SEA Thailand 2025, Amir Daniel berkata kejayaan meraih emas hasil daripada latihan intensif berintensiti tinggi di Mongolia, termasuk berlatih bersama pasukan kebangsaan negara itu.
“Latihan di Mongolia sangat mencabar, sehari dua hingga tiga sesi latihan. Intensiti tinggi inilah yang membantu saya dan pasukan mencapai tahap terbaik sehingga mampu membawa pulang emas,” katanya.
Amir Daniel turut menegaskan kekurangan rakan sepelatihan berkualiti di dalam negara menyebabkan atlet judo Malaysia perlu mencari latihan di luar negara bagi memastikan kualiti persediaan berada pada tahap kompetitif.
Dalam pada itu, beliau berharap generasi atlet akan datang dapat diberikan lebih banyak peluang menyertai kejohanan domestik dan antarabangsa agar mereka lebih bersedia menghadapi persekitaran berbeza di peringkat dunia.
“Jika atlet muda diberi lebih pertandingan dan pendedahan, mereka tidak akan rasa gentar apabila beraksi di luar negara,” katanya.
Selepas kejayaan di Thailand, Amir Daniel kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Asia di Jepun, Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, serta mengumpul mata kelayakan bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Kemenangan di Sukan SEA itu turut didedikasikan kepada arwah ayahnya yang meninggal dunia November lalu akibat komplikasi jantung yang menurutnya menjadi sumber kekuatan mental sepanjang tempoh latihan dan pertandingan.
“Sokongan keluarga, rakan sepasukan, jurulatih dan semua yang membantu amat bermakna buat saya. Tanpa mereka, kejayaan ini tidak mungkin tercapai,” katanya.



