SERI ISKANDAR – Dari gerai kecil yang bermula sekadar menambah pendapatan sampingan, perniagaan Nadien Yong Tau Foo kini berkembang menjadi antara pilihan utama pelanggan di Seri Iskandar, Perak berkat keunikan sos hitam istimewa yang menjadi identiti utama mereka.
Pengasasnya, Mohamad Noor Hakim, 33, berkata perniagaan yang dimulakan pada 2019 sebelum wabak pandemik COVID-19 itu tidak pernah menyangka mampu bertahan sehingga hari ini, malah berkembang dengan sokongan pelanggan yang semakin meningkat saban tahun.

Menurutnya, keistimewaan Nadien Yong Tau Foo terletak pada sos hitam resipi sendiri yang sering menjadi tumpuan pelanggan berbanding sup yang biasanya menjadi kelaziman dalam hidangan yong tau foo.
“Majoriti pelanggan datang bertanyakan tentang sos kami. Mereka jarang tanya tentang sup pun,” katanya ketika dihubungi wartawan MYBERITA.
Hakim berkata, walaupun pelbagai cabaran dihadapi termasuk faktor cuaca hujan yang menjejaskan operasi, perniagaannya tetap konsisten menerima kunjungan pelanggan, sekali gus memberi semangat untuk terus berkembang pada tahun 2025.
Bisnes itu dikendalikan di dua lokasi utama sekitar Seri Iskandar di Lock Luck Char Kuey Teow, Bandar Universiti serta operasi lori di Persiaran SIBC Sidek.
Menariknya, ketika pandemik melanda pada 2020 hingga 2021, Hakim mengambil langkah berani dengan menghasilkan sos hitam dalam bentuk bungkusan yang kemudian berjaya menembusi pasaran Australia selama setahun sebelum dihentikan bagi memberi tumpuan kepada operasi vendor dan perniagaan fizikal.
Kini, promosi dilakukan secara aktif di TikTok menerusi akaun @nadienyongtaufoo, yang membantu memperluas capaian pelanggan terutamanya dalam kalangan anak muda di Perak Tengah.
Hakim berharap perniagaannya dapat terus bertahan dan berkembang, selain berhasrat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia setempat.
“Terima kasih kepada semua pelanggan yang masih menyokong kami dari 2019 hingga kini. Kalau ada rezeki, saya mahu sambung semula eksport sos hitam ke luar negara,” ujarnya.
Pelanggan boleh menikmati hidangan Nadien Yong Tau Foo di Lock Luck Char Kuey Teow, Bandar Universiti, bermula 4.30 petang hingga 11 malam setiap hari kecuali Rabu. Sementara itu, operasi lori di Persiaran SIBC Sidek dibuka dari 3.00 petang hingga 11 malam, tutup setiap Selasa.

