REMBAU – Pelajar jurusan penyiaran tampil menyanggah dakwaan sesetengah individu yang melabelkan kursus penyiaran sebagai “kos sampah”, sambil menegaskan bidang itu menuntut komitmen tinggi, kemahiran teknikal serta ketahanan mental yang bukan mudah dicapai.
Menurut Muhammad Adam Ariff Ramli, Penerbit The Midnight Show, tanggapan kononnya kursus penyiaran sekadar berseronok tanpa tekanan adalah tidak berasas dan jauh menyimpang daripada realiti sebenar pelajar.
“Ramai fikir kos penyiaran ni senang, masuk untuk enjoy, senang score. Hakikatnya, kami berdepan tekanan yang besar dari awal semester hingga hari siaran. Semua perlu dirancang, diuji dan dilaksanakan dengan teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pengalaman menghasilkan rancangan berdurasi satu jam yang memerlukan persediaan rapi melibatkan dokumentasi, latihan teknikal dan koordinasi pasukan.
Sementara itu, Siti Auni Bari’eah Mohamad Azwan, selaku Pengurus Produksi, menjelaskan bahawa bidang penyiaran memerlukan pengurusan masa yang ketat serta keupayaan membuat keputusan pantas dalam situasi berisiko tinggi.
“Dalam penyiaran, satu kesilapan kecil boleh menjejaskan keseluruhan produksi. Kami belajar mengurus kru, peralatan, masa dan tekanan secara serentak. Ia bukan kerja mudah seperti yang disangka,” ujarnya.
Tambahnya, pelajar juga diuji dengan tugasan akademik dan penilaian praktikal yang menuntut tahap profesionalisme setara industri sebenar.
Bagi Abdul Hakeem Noor Asha, Juru Kamera, aspek teknikal dalam penyiaran menjadi antara cabaran terbesar yang sering dipandang remeh oleh pihak luar.
“Kerja kamera bukan sekadar tekan rakam. Kami perlu faham sudut, pencahayaan, pergerakan dan kesinambungan visual. Semua ini dinilai, termasuk semasa peperiksaan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pelajar penyiaran bukan sahaja diuji dari segi kreativiti, malah kecekapan teknikal dan keupayaan bekerja di bawah tekanan masa nyata.
Ketiga-tiga pelajar itu sependapat bahawa label “kos sampah” bukan sahaja tidak adil, malah merendahkan usaha dan pengorbanan pelajar yang berjuang untuk memenuhi piawaian industri penyiaran profesional.
Mereka berharap masyarakat dapat membuka mata dan menilai bidang penyiaran berdasarkan realiti sebenar, bukan persepsi lapuk yang tidak mencerminkan cabaran dan nilai sebenar profesion tersebut.



