KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar, khususnya murid Tahun 1 yang memulakan langkah pertama ke alam persekolahan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata permulaan persekolahan merupakan detik penting yang sarat dengan cita-cita dan harapan, bukan sahaja buat anak-anak, malah kepada ibu bapa dan negara.
“Selamat kembali ke sekolah buat anak-anak, khususnya murid Tahun 1 yang memulakan langkah pertama ke alam persekolahan bersama cita-cita dan harapan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar sentiasa mengiringi perjalanan pendidikan anak-anak dengan doa serta menjadi teladan yang baik dalam kehidupan seharian.
“Buat ibu bapa, iringlah perjalanan anak-anak dengan doa dan teladan yang baik. Semoga setiap ilmu dan nilai yang dipelajari membentuk mereka menjadi insan berakhlak, berilmu dan menyumbang kepada masa depan negara. Insya-Allah,” ujar beliau.
Ciapan tersebut mendapat pelbagai reaksi positif daripada warganet yang menyifatkan mesej itu sebagai suntikan semangat kepada pelajar dan peringatan penting kepada ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu.


