SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin diplomasi kreatif serantau apabila Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) dengan kerjasama Cinemove Club menganjurkan program eksklusif CINEMOVE X SULAM INTERNATIONAL PODCAST “Across Culture One Future”: Filming in Malaysia Online Webinar 2026, di Podcast Studio FiTA, yang berlangsung dari 15 hingga 17 Januari 2026.
Berteraskan tema Cultural Exchange, program bertaraf antarabangsa ini memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi strategik penggambaran filem kepada produksi luar negara, khususnya dari rantau Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand.
Inisiatif ini sekali gus menyokong aspirasi negara untuk menjadikan industri kreatif sebagai pemacu ekonomi dan pelancongan mampan.

Menariknya, keseluruhan penganjuran webinar ini digerakkan sepenuhnya oleh 65 orang pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif (CAFF 236) dan Pengurusan Produksi Filem (CAFF 237)sebagai sebahagian daripada Projek Akhir kursus Risk & Crisis Management in Film Production dan Business Strategy for Arts Entrepreneur. Pendekatan ini membuktikan keupayaan pelajar UiTM mengurus acara maya profesional bertaraf antarabangsa, melangkaui kerangka tugasan akademik konvensional.
Cinemove Club yang sebelum ini dikenali dengan inisiatif Wayang Pacak moden tampil dengan wajah baharu menerusi penghasilan podcast berskala antarabangsa, sekali gus memperlihatkan evolusi peranan kelab pelajar dalam landskap industri kreatif digital. Usaha kolektif ini turut selari dengan konsep SULAM (Service Learning Malaysia University for Society) yang menekankan pembelajaran berimpak melalui penglibatan langsung bersama masyarakat dan industri.
Program ini menampilkan beberapa sesi perkongsian berimpak tinggi antaranya FIMI Explained: Incentives Behind International Films Shot in Malaysia, Promoting Malaysia 2026: Tourism Strategies in the Digital Age serta Celebrating Culture, Shaping the Future of Southeast Asia’s Creative Industry, yang memberi pendedahan menyeluruh tentang ekosistem penggambaran, insentif dan potensi kreatif Malaysia.
Dengan sokongan padu daripada FINAS, FIMI, UiTM serta rakan industri, webinar ini berfungsi sebagai jambatan ilmu antara institusi pengajian tinggi dan komuniti filem antarabangsa. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman global terhadap kelebihan Malaysia sebagai lokasi penggambaran, malah menyemai nilai patriotisme, daya saing dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Menurut Koordinator Pra Siswazah Pengurusan Industri Kreatif FiTA, Dr. Hazlin Anita Zainal Abidin, penglibatan aktif pelajar bersama komuniti luar negara membantu membentuk sahsiah dan pemikiran global.
“Program ini membuka ruang komunikasi yang lebih luas tentang penggambaran di Malaysia serta membina hubungan berasaskan pendidikan dan kepercayaan yang berpanjangan antara pelajar FiTA dan komuniti pembikin filem antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Kelab Cinemove dan Pensyarah Program Pengurusan Industri Kreatif FiTA, Azlan Syah Rashid berkata, pemilihan tema berimpak ini memberi pendedahan langsung kepada industri luar negara mengenai insentif penggambaran di Malaysia.
“Ia secara tidak langsung meningkatkan kesedaran terhadap konsep Eco-Tourism Malaysia, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi industri perfileman dan pelancongan negara,” ujarnya.
Penganjuran CINEMOVE X SULAM INTERNATIONAL PODCAST “Across Culture One Future” membuktikan bahawa pelajar universiti bukan sekadar penerima ilmu, sebaliknya mampu menjadi duta kreatif negara dalam memperkenalkan Malaysia ke persada antarabangsa melalui medium filem dan media digital.



