KUALA LUMPUR – Bertubi-tubi berdepan dakwaan berbadan dua, penyanyi Amira Othman memohon agar diberikan ruang dan privasi berhubung kehidupan peribadinya, khususnya selepas bergelar isteri.
Kekal dengan pendirian sama, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 33, berkata dia akan berkongsi khabar gembira kepada umum sekiranya tiba masa yang sesuai.
“Sebelum kahwin orang tanya pasal kahwin, dah kahwin orang tanya pasal mengandung. Kalau ada waktu bersesuaian pasti saya akan kongsikan. Saya mohon sedikit privasi dan ruang.
“Saya minta doa yang baik-baik daripada semua peminat dan pengikut. Insya-Allah, benda baik kita akan kongsikan, tetapi kita juga perlukan ruang dan kehidupan seperti orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Amber 2026, di sini, hari ini.
Menurut pelantun lagu Hati-Hati itu, walaupun sering menerima soalan sama berulang kali, dia menganggap perkara tersebut sebagai lumrah seorang selebriti.
“Tak bolehlah nak kata penat sebab ini memang biasa sebagai ‘public figure’. Kadang-kadang soalan yang sama akan ditanya walaupun sudah dijawab, seperti dalam siaran langsung TikTok.
“Bagi saya itu perkara biasa. Kalau kita tak mahu ditanya soalan begini, mungkin kita tak patut berada dalam industri,” jelasnya.
Sebelum ini, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu menjadi perhatian apabila didakwa hamil selepas kelihatan ‘baby bump’ dalam beberapa video yang tular di media sosial.
Spekulasi turut tercetus apabila Amira dimasukkan ke wad akibat masalah kesihatan, selain tidak dapat menemani suaminya ke Seoul, sekali gus mengundang pelbagai andaian dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun, Amira menyifatkan segala spekulasi yang timbul sebagai sesuatu yang sudah dijangka dan merupakan sebahagian daripada kehidupan seorang figura awam.
Untuk rekod, Amira dan Fattah Amin selamat bergelar suami isteri pada 14 September tahun lalu, bersempena ulang tahun kelahiran ke-35 pelakon filem Pendekar Awang itu.




