Proton S70 2026 tampil lebih sportif, sarat teknologi dan prestasi

KUALA LUMPUR – Proton memperkenalkan Proton S70 Baharu 2026 yang diposisikan sebagai sedan sportif, direka bagi memenuhi keperluan golongan profesional muda dan keluarga moden yang mementingkan prestasi, teknologi serta nilai pemilikan jangka panjang.

Model ini menerima pelbagai penambahbaikan daripada segi prestasi, keterhubungan, gaya dan keselamatan selari dengan kehendak pengguna masa kini.

Sejak diperkenalkan, S70 mencatat jualan melebihi 38,000 unit, membuktikan penerimaan kukuh dalam kalangan pembeli kereta pertama serta pelanggan yang ingin menaik taraf kenderaan.

Daripada aspek prestasi, S70 dikuasakan enjin 1.5 liter turbo i-GT empat silinder yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan, menghasilkan 181 PS dan 290 Nm tork. Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam 7.5 saat dengan penggunaan bahan api sekitar 5.7 liter bagi setiap 100 kilometer, menawarkan keseimbangan antara kuasa, kecekapan dan keselesaan untuk kegunaan harian.

Sistem pacuan ini dibangunkan bersama rakan strategik, Geely, dengan penambahbaikan dari segi tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH), ketahanan serta talaan pengendalian. Selepas pelancaran, wakil media turut berpeluang memandu uji model ini di Litar Antarabangsa Sepang bagi menilai prestasi enjin, kestabilan casis dan tahap pengendalian.

Dari sudut penampilan, S70 2026 tampil dengan lampu hadapan baharu, rim aloi 17 inci, lampu belakang LED bar penuh serta aerokit standard bagi varian tertinggi. Ruang kabin pula menampilkan tema hitam moden dengan material lebih kemas, suis bercahaya dan susun atur ergonomik yang dioptimumkan untuk keselesaan pemandu serta penumpang.

Aspek keterhubungan diperkukuh menerusi skrin infotainmen 12.3 inci Full HD yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar selain sistem arahan suara ‘Hi PROTON’. Dari segi keselamatan, ia dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 merangkumi 13 fungsi pintar termasuk Sistem Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Pelayaran Adaptif dan Pintar (ACC & ICC), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Pertukaran Lorong (LCA), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Kawalan Lampu Tinggi Pintar (IHBC).

BACA JUGA:  Selepas 23 tahun, MBO Cinemas umum tutup semua cawangan

Model ini turut dilengkapi kamera 360 darjah berdefinisi tinggi dengan paparan 3D, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) serta rangkaian sistem keselamatan pasif menyeluruh bagi meningkatkan tahap perlindungan dan keyakinan pemanduan harian.

Ditawarkan dalam empat varian iaitu 1.5TD Executive, Premium, Flagship dan Flagship X dengan harga bermula RM73,800 hingga RM94,800, PROTON yakin S70 2026 mampu menawarkan nilai tinggi serta keyakinan pemilikan jangka panjang kepada pelanggan menerusi pakej jaminan, pembiayaan dan sokongan selepas jualan yang komprehensif.

Adam Taqiuddin
Adam Taqiuddin
adamtaqiuddin@portalmyberita.com

TRENDING

“Inilah kawan dia…” – kanak-kanak bawa mainan ke kubur atuk, ramai menitiskan air mata

KUALA LUMPUR – Gelagat seorang kanak-kanak yang menziarahi pusara...

Kanak-kanak tunjuk budi pekerti, baca doa untuk tuan rumah selepas beraya

KUALA LUMPUR – Gelagat sekumpulan kanak-kanak yang membaca doa...

Penuntut UMPSA pijak al-Quran dibuang universiti

KUANTAN - Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah...

Usia 13 tahun dah pandai bagi duit raya, Shuib luah rasa bangga

KUALA LUMPUR – Pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu meluahkan...

Hantaran pasangan songsang ‘Jodoh Lebaran’ tular, kerajaan negeri jalankan siasatan

MELAKA – Kerajaan negeri sedang menjalankan siasatan terhadap satu...