KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pembatalan tiga kejohanan futsal dan bola sepak pantai peringkat kebangsaan bagi musim ini termasuk Malaysia Futsal Cup (MFC), Kejohanan Futsal Lelaki Bawah 19 Tahun Kebangsaan serta Kejohanan Bola Sepak Pantai Kebangsaan.
Menurut kenyataan FAM, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penyelarasan kalendar pertandingan, komitmen pasukan serta kekangan aspek logistik dan infrastruktur.
FAM menegaskan pembatalan ini bukan langkah ke belakang terhadap pembangunan futsal dan bola sepak pantai, sebaliknya satu strategi untuk memastikan perancangan yang lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi pada masa hadapan.
“FAM sedang menilai semula struktur pertandingan supaya ia selari dengan hala tuju pembangunan jangka panjang serta memastikan standard pertandingan lebih kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan.
Badan induk bola sepak negara itu memaklumkan pelan penstrukturan semula pertandingan akan diperincikan selepas perbincangan dengan pihak berkepentingan dimuktamadkan.

