KUCHING – Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) gagal dalam permohonannya untuk mengisytiharkan tuntutan jaminan bank oleh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan selepas Mahkamah Tinggi Kuching menolak permohonan tersebut hari ini.
Hakim Faridz Gohim Abdullah memutuskan bahawa tuntutan PETRONAS ke atas jaminan bank berjumlah RM7.95 juta adalah selaras dengan terma jaminan yang bersifat “on-demand” serta tanpa syarat.
Dalam penghakimannya, mahkamah menegaskan isu yang perlu diputuskan hanya terhad kepada persoalan sama ada tuntutan terhadap jaminan bank itu tidak sah atau menyalahi undang-undang seperti dinyatakan dalam Notis Usul yang difailkan PETROS.
Menurut mahkamah, PETROS tidak memohon sebarang deklarasi untuk mencabar kesahan Perjanjian Jual Beli Gas (SGSA) atau memohon pengisytiharan bahawa Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) terpakai ke atas PETRONAS sehingga memerlukan lesen negeri.
“Mahkamah tidak boleh memutuskan isu yang tidak dipohon secara jelas dalam relif,” katanya.
Hakim turut memutuskan bahawa jaminan bank berkenaan adalah jaminan tanpa syarat yang boleh dituntut melalui permintaan bertulis tanpa perlu membuktikan pelanggaran kontrak terlebih dahulu.
Mahkamah juga mengambil kira bahawa wang jaminan bank itu telah diterima dan digunakan oleh PETRONAS, sekali gus menjadikan permohonan injunksi untuk menghalang tuntutan tersebut sebagai akademik.
Terdahulu, pertikaian tercetus selepas PETRONAS membuat tuntutan terhadap jaminan bank berkenaan susulan kegagalan PETROS menjelaskan bayaran bagi bekalan gas pada Ogos 2024.
PETROS berhujah bahawa PETRONAS tidak mempunyai lesen sah di bawah DGO 2016 untuk membekalkan gas di Sarawak, manakala PETRONAS pula menegaskan ia beroperasi di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974), undang-undang Persekutuan yang menurutnya mengatasi undang-undang negeri sekiranya berlaku percanggahan.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa isu pertindihan antara undang-undang Persekutuan dan negeri, termasuk persoalan kesahan perundangan, berada dalam bidang kuasa asal eksklusif Mahkamah Persekutuan dan tidak boleh diputuskan dalam prosiding ini.
Sehubungan itu, mahkamah mendapati tiada unsur ketidakadilan atau salah laku dalam tuntutan jaminan bank tersebut dan menolak permohonan PETROS dengan kos.
Pada prosiding hari ini, PETROS diwakili Tan Sri Cecil Abraham, Sim Hui Chuang, Lim Lip Tze dan Rosalie Tien, manakala PETRONAS diwakili Datuk Dr Cyrus Das, Khoo Guan Huat serta Alex Ngu Sze Sha. Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung pula bertindak sebagai pemerhati bagi pihak Kerajaan Sarawak.

