KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang sebelum ini dipecat daripada parti itu, secara rasmi menyerahkan surat rayuan untuk kembali menyertai United Malays National Organisation (UMNO), semalam.
Surat tersebut diserahkan sendiri oleh Khairy kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, beliau secara peribadi telah menerima permohonan berkenaan dan perkara itu akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi serta dipertimbangkan sewajarnya.
Menurutnya, fokus utama perjuangan parti adalah mencari jalan penyatuan dan bukannya membiarkan perpecahan terus memisahkan ahli-ahli.
“Mudah-mudahan Rumah Bangsa menjadi asas untuk mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, lebih ramai lagi pemimpin sudah menyerahkan surat permohonan untuk kembali kepada UMNO termasuk bekas Naib Presidennya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
“Berita yang cukup syahdu dan menggembirakan di malam terakhir Ramadan.
“Moga Allah SWT memberkati UMNO sebagai Rumah Bangsa ini untuk terus memperjuangkan agenda Islam, Melayu dan negara keseluruhannya.
“Alhamdulillah Ya Allah, kami bersyukur atas nikmatMu ini!,” katanya
Terdahulu, selepas dipecat daripada UMNO pada 2023, Khairy secara terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti tersebut menerusi agenda Rumah Bangsa.
UMNO sebelum ini turut membuka pintu kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan, selain mengalu-alukan mana-mana individu yang mahu bersama perjuangan parti itu. -MYBERITA

