KUALA LUMPUR – Seorang deejay kelab malam dikenali sebagai DJ Kidd mencetus perhatian warganet selepas mengumumkan bahawa dia kini tidak lagi bersama wanita yang pernah rapat dengannya.
Menerusi perkongsian di Threads, DJ Kidd berkata dia sering menerima pertanyaan mengenai pasangannya setiap kali tampil di mana-mana acara, sekali gus mendorongnya untuk menjelaskan perkara sebenar.
“Di sini saya nak memaklumkan di mana saja saya berada orang sibuk tanya saya di manakah pasangan saya… saya berbesar hati ingin memberitahu yang saya tidak lagi bersama dia. Jadi saya harap tiada lagi persoalan selepas ini,” tulisnya.
Dalam masa sama, dia turut mendoakan kebahagiaan wanita tersebut walaupun hubungan mereka telah berakhir.
“Saya juga mendoakan kebahagiaan dia bersama siapa jua dia bersama. Amin,” katanya lagi.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mula membuat spekulasi mengenai identiti wanita dimaksudkan.
Rata-rata mendakwa kenyataan itu berkait dengan aktres Emma Maembong memandangkan kedua-duanya sebelum ini sering dilihat bersama dan pernah dikaitkan menjalinkan hubungan rapat.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi mengenai perkara tersebut daripada kedua-dua pihak. – MYBERITA

