PASIR PUTEH – Tragedi menyayat hati menimpa sebuah keluarga di Kampung Telaga Papan, Semerak apabila seorang kanak-kanak autisme berusia 12 tahun maut selepas dihempap blok konkrit ketika bermain di kawasan lubang pasir, petang kelmarin.
Mangsa, Mohammad Yusof Nor Ismail, disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang telaga pasir bersama seorang lagi kanak-kanak sebelum dihempap konkrit akibat hakisan pasir.
Bapanya, Nor Ismail Nasir, 52, berkata anak sulungnya itu merupakan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran yang mengalami autisme hiperaktif dan agak sukar dikawal kerana terlalu aktif.
Menurutnya, ketika kejadian dia sedang bekerja di Pasir Mas sebelum menerima panggilan daripada isterinya, Nurul Anis Abdul Rahman, 36, yang memaklumkan kejadian tersebut.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan harap orang ramai tidak menyalahkan isteri atau keluarga kerana kami sentiasa menjaga arwah dengan baik,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Gedombak.
Sementara itu, Nurul Anis berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan anaknya terjatuh ke dalam lubang pasir bersama sepupu mereka, Mohd Yunus Nasir, 12.
Katanya, dia sendiri turun ke dalam lubang bersama penduduk kampung untuk menyelamatkan anaknya yang ketika itu masih bernyawa.
“Semasa saya bawa keluar, dia sempat cakap ‘Mat dah nak pergi, tak dapat pergi sekolah dah’,” katanya sebak.
Dalam kejadian itu, Mohd Yunus mengalami kecederaan di leher dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Saari Yaacob sebelum ini memaklumkan kedua-dua mangsa yang merupakan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Dalam Rhu dipercayai terjatuh ke dalam lubang telaga pasir sebelum dihempap konkrit.
Jenazah Mohammad Yusof selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakaf Berangan selepas proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tengku Anis.

