Rabu, 1 Julai 2026
spot_img
HomeNasionalAnggota polis maut digilis akibat tayar lori tercicir

Anggota polis maut digilis akibat tayar lori tercicir

SEBERANG PERAI – Sebuah tayar lori yang dipercayai tercicir di tengah Lebuhraya Utara-Selatan bertukar menjadi perangkap maut apabila meragut nyawa seorang anggota polis selepas motosikal ditunggangnya melanggar objek berkenaan dalam kejadian awal pagi tadi.

Mangsa berusia 40 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dan terseret di atas permukaan jalan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira pukul 6 pagi.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta yang dalam perjalanan dari arah Juru menghala ke Seberang Jaya dipercayai melanggar tayar di tengah jalan sebelum hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri lebuh raya.

“Pada masa sama, sebuah motosikal yang datang dari arah sama turut melanggar tayar berkenaan menyebabkan penunggangnya terjatuh dan terseret di permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan anggota polis di IPK Perlis meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua individu yang menaiki kereta terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

“Bedah siasat di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya mengesahkan punca kematian mangsa adalah kecederaan kepala akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana tayar lori tersebut boleh tercicir di tengah lebuh raya serta mengesan pemilik atau kenderaan yang terlibat. Kejadian itu sekali lagi membangkitkan kebimbangan mengenai bahaya objek asing di lebuh raya yang mampu mengundang tragedi dalam sekelip mata.

ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-
Google search engine