Jumaat, 31 Julai 2026
spot_img
JenayahJuruterbang ditahan kes dadah, Malaysia Airlines tidak bertolak ansur

Juruterbang ditahan kes dadah, Malaysia Airlines tidak bertolak ansur

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines mengesahkan sedang menjalankan semakan dalaman sambil memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Indonesia susulan penahanan seorang juruterbang syarikat itu yang disyaki cuba menyeludup 25 kilogram (kg) dadah ke negara berkenaan.

Syarikat penerbangan nasional itu berkata, dakwaan membabitkan kesalahan narkotik dipandang serius, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan oleh pihak berkuasa Indonesia masih berjalan.

Menurut Malaysia Airlines, semua bentuk kerjasama akan diberikan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa bagi membantu proses siasatan.

“Malaysia Airlines akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan selaras dengan semua undang-undang dan peraturan yang terpakai.

“Kami juga tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku dan kini sedang menjalankan semakan dalaman berhubung perkara ini. Keselamatan, sekuriti dan integriti operasi kami kekal menjadi keutamaan,” menurut kenyataan syarikat itu hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada Selasa lalu selepas disyaki cuba menyeludup 25kg dadah ke Indonesia.

Difahamkan, suspek ditahan selepas Bahagian Kastam dan Cukai Indonesia menemui 15 paket besar mengandungi 70,114 kapsul yang dipercayai mengandungi dadah jenis ekstasi dan methamphetamine.

Kes itu kini masih dalam siasatan pihak berkuasa Indonesia, manakala Malaysia Airlines menegaskan komitmennya untuk memastikan aspek keselamatan, sekuriti dan integriti operasi syarikat terus dipelihara sepanjang proses siasatan berlangsung.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-