Gerai “non-halal tapi mesra muslim” cetus kekeliruan, penganjur ditegur

PULAU PINANG — Sebuah universiti awam di Pulau Pinang menerima perhatian meluas selepas dua gerai makanan yang beroperasi di ruang legar perpustakaan institusi itu didapati memaparkan label bercanggah iaitu “Non-Halal” dan “Muslim-friendly” secara serentak.

Perkara tersebut mula tular apabila seorang pembantu penyelidik siswazah universiti berkenaan, Asmeelya Ishak, memuat naik hantaran di Facebook yang mempersoalkan ketepatan dan kesesuaian penggunaan label-label tersebut.

“FYI, non-Halal is NOT Muslim friendly. Don’t put the signage side by side like this. Just put NOT FOR MUSLIMS. Easy,” tulisnya sambil melampirkan gambar gerai terbabit, yang kemudian meraih perhatian warga maya dan mencetuskan perdebatan berkenaan sensitiviti agama serta komunikasi visual dalam ruang awam.

Susulan penularan isu berkenaan, pihak universiti bertindak segera dengan menutup operasi kedua-dua gerai tersebut serta menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit.

Menurut seorang alumni universiti itu, Din Shamsudin Hussin, tindakan tegas telah diambil oleh Jabatan Keselamatan universiti pada petang 21 April lalu.

“Pihak keselamatan telah menutup tapak serta membatalkan program yang melibatkan penjualan makanan tersebut. Kerja-kerja pembersihan telah dijalankan bagi memastikan tiada kekeliruan atau gangguan terhadap keharmonian kampus,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penganjur program khususnya persatuan pelajar termasuk Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan Bahasa Tionghua perlu lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat khususnya dalam soal Halal dan Haram sejajar dengan dasar universiti.

“Jangan ambil mudah kelonggaran yang diberikan atas nama kebebasan berpersatuan. Semua pihak perlu memainkan peranan dalam mendidik mahasiswa, khususnya generasi muda, agar lebih faham tentang garis panduan dan budaya setempat,” katanya.

Insiden ini menimbulkan perbincangan meluas dalam kalangan masyarakat yang rata-ratanya menekankan keperluan untuk meningkatkan kefahaman antara budaya dan agama terutamanya dalam konteks institusi pendidikan tinggi.

BACA JUGA:  Pak Lah meninggal dunia akibat masalah pernafasan

Beberapa pihak turut menyarankan agar universiti menyediakan garis panduan lebih jelas kepada persatuan pelajar berkenaan penganjuran aktiviti yang melibatkan makanan dan minuman termasuk aspek pelabelan dan pematuhan syariah.

Deepa
Deepa
deepa@portalmyberita.com

TRENDING

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di lebuhraya MEX, cedera bengkak bahagian kaki

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, terlibat dalam...

Adegan teater tidak selaras dengan skrip asal – UM

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu...

Walaupun hanya lakonan tapi ini dah melampau, teater universiti cetus perdebatan

KUALA LUMPUR – Satu pementasan teater di sebuah universiti...

Akaun palsu guna nama dan logo MYBERITA, orang ramai diminta berwaspada

KUALA LUMPUR - Portal berita MYBERITA memandang serius tindakan...

PMX balas hadiah duit raya dua beradik dengan iPad

TERENGGANU - Keikhlasan dua beradik yang menghadiahkan duit raya...