Night Race @ Putrajaya sasar himpun ribuan peserta, semarakkan budaya hidup sihat

KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya peminat sukan larian dijemput menyertai Night Race @ Putrajaya 2026 yang bakal berlangsung esok di Dataran Wawasan, Presint 2, Putrajaya, dengan sasaran menghimpunkan ribuan peserta daripada seluruh negara menerusi pelbagai kategori larian yang sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap kecergasan.

Acara anjuran Equip Event itu dianjurkan sebagai platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat, meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kecergasan fizikal serta mengeratkan hubungan komuniti melalui aktiviti sukan yang inklusif dan menyeronokkan.

Menariknya, konsep larian malam yang diketengahkan bukan sekadar perlumbaan biasa, malah turut diserikan dengan suasana karnival kesihatan yang menawarkan pengalaman berbeza kepada peserta sambil menikmati panorama malam sekitar pusat pentadbiran negara.

Menurut penganjur, Night Race @ Putrajaya diwujudkan bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat menjadikan aktiviti larian sebagai sebahagian daripada rutin harian selain mewujudkan ruang interaksi sosial yang positif dalam kalangan komuniti.

“Larian ini terbuka kepada semua golongan tanpa mengira tahap kecergasan. Sama ada peserta yang baru ingin berjinak-jinak dengan aktiviti larian, keluarga yang mahu meluangkan masa bersama atau pelari berpengalaman yang mencari cabaran baharu, semuanya dialu-alukan untuk menyertai acara ini.

“Kami berharap Night Race @ Putrajaya dapat menjadi antara acara komuniti yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih aktif, sihat dan bersatu,” katanya kepada MYBERITA.

Bagi memenuhi pelbagai tahap kemampuan peserta, acara itu menawarkan empat kategori larian iaitu 2 kilometer (km) dan 5km Fun Run yang sesuai untuk pelari santai serta keluarga, manakala kategori 10km dan 21km Half Marathon disediakan kepada peserta yang ingin menguji daya tahan serta keupayaan fizikal mereka.

Selain pengalaman berlari di laluan yang merentasi beberapa lokasi ikonik Putrajaya, peserta juga akan disajikan dengan sesi pemanasan badan, aktiviti interaktif dan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang selepas perlumbaan berakhir.

BACA JUGA:  Tiara Jacquelina akui tak tahu anak sertai uji bakat PGLTM, tegas proses pemilihan dibuat telus

Setiap peserta yang berdaftar turut akan menerima baju rasmi acara dan pingat penamat eksklusif sebagai penghargaan atas komitmen serta penyertaan mereka.

Acara itu turut mendapat sokongan pelbagai kelab larian komuniti, jawatankuasa sukan tempatan serta rakan industri yang komited dalam mempromosikan pembangunan sukan dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com