KUALA LUMPUR – Susuk tubuh seekor seladang yang kelihatan tegap dan berotot di Zoo Negara mencuri perhatian pengguna media sosial sehingga ada yang berseloroh haiwan berkenaan seolah-olah menjalani latihan di gimnasium.
Gelagat dan penampilan haiwan itu menjadi bualan selepas seorang pengguna Threads, @biehadelima9 berkongsi beberapa gambar memperlihatkan seladang berkenaan berdiri di dalam kawasan kandangnya dengan bentuk badan yang cukup sasa.
“Ada gym untuk hewan ke dalam zoo ni?” tulisnya secara berseloroh menerusi hantaran tersebut.
Perkongsian berkenaan pantas menarik perhatian netizen apabila menerima lebih 3,800 tanda suka dan ratusan komen, dengan rata-ratanya terhibur melihat bentuk tubuh haiwan tersebut yang disamakan dengan ahli bina badan.
Menjengah ruangan komen, seorang pengguna mengakui terkejut melihat saiz badan seladang berkenaan, malah tidak menyangka haiwan itu mempunyai susuk tubuh sedemikian.
“Ni seladang kan? Seladang memang sado. Tak pernah tengok irl. Ada kat Zoo Negara rupanya” tulis @ohhinikhaiijirina.
Tidak kurang juga yang bergurau kononnya seladang tersebut mempunyai rutin senaman tersendiri sehingga berjaya membentuk otot yang begitu ketara.
“Mesti hari-hari buat legs day,” komen @ammarsyafiq_.
Seorang lagi pengguna, @nomadsmashedburgerau3 turut mencuit hati apabila mengaitkan pemakanan haiwan tersebut dengan bentuk badannya.
“Dorang makan rumput je jadi camni. Aku beria protein shake mak nenek bagai,” katanya.
Sementara itu, seorang pengguna lain menjelaskan bahawa bentuk tubuh sasa merupakan antara ciri semula jadi seladang yang sememangnya mempunyai struktur otot besar, khususnya pada bahagian bahu dan belakang badan.
“Tak perlu langgan membership gym apa pun, sebab seladang ni memang ‘sado’ original sejak dalam kandungan lagi,” tulis @fique169.
Untuk rekod, seladang atau nama saintifiknya Bos gaurus merupakan antara spesies lembu liar terbesar di dunia yang terkenal dengan tubuh tegap, otot bahu yang menonjol serta kaki yang kuat.
Walaupun pemakanannya berasaskan tumbuhan, haiwan ini secara semula jadi mempunyai struktur badan yang besar dan berotot, sekali gus menjadikan penampilannya berbeza daripada lembu ternakan biasa.
Perkongsian tersebut bukan sahaja menghiburkan pengguna media sosial, malah secara tidak langsung menarik perhatian orang ramai terhadap keunikan fizikal seladang yang merupakan antara hidupan liar yang dilindungi di Malaysia. – THREADS







