Jumaat, 30 Oktober 2026 | 11:18:00 pm

Cermin tren komuter pecah akibat vandalisme, KTMB buat laporan polis

KUALA LUMPUR – Tindakan membaling objek ke arah tren komuter yang sedang bergerak boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM25,000 susulan insiden vandalisme di laluan Padang Besar-Butterworth, semalam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan kejadian yang tular di media sosial itu berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika tren melalui laluan antara Arau, Perlis dan Kodiang, Kedah.

Menurut KTMB, tren berkenaan dipercayai terkena balingan objek tidak dikenali dari luar sehingga menyebabkan cermin tingkap di bahagian kiri koc kedua pecah.

“Sejurus menerima laporan daripada pemandu tren, pihak KTMB mengambil tindakan serta-merta dengan mengosongkan koc yang terjejas serta mengehadkan akses penumpang sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Susulan kejadian, anggota Polis Bantuan KTMB turut digerakkan bagi mengawal pergerakan penumpang dan memastikan keadaan di dalam tren berada dalam keadaan selamat.

Tren berkenaan kemudian meneruskan perjalanan pada pukul 6.21 petang selepas pemeriksaan keselamatan selesai, namun mengalami kelewatan kira-kira 21 minit daripada jadual asal.

Set tren yang terjejas turut ditahan di Depoh Bukit Tengah untuk pemeriksaan dan kerja penukaran tingkap sebelum kembali beroperasi pada hari berikutnya.

KTMB memaklumkan laporan polis sudah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Dalam pada itu, KTMB menegaskan bahawa tindakan membaling batu atau objek ke arah tren bukan sahaja merosakkan harta benda awam, malah boleh mengancam nyawa penumpang serta kakitangan yang bertugas.

“Perbuatan melontar batu atau objek membahayakan kereta api merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 132, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000, atau hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Selain itu, kerosakan harta benda kereta api secara sengaja atau cuai turut boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 128 akta sama, dengan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM5,000 serta penjara sehingga tiga tahun, bergantung kepada kesalahan.

Sehubungan itu, KTMB menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar landasan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan perkhidmatan kereta api terus terpelihara. – BERITA RTM