Khamis • 5 Februari 2026

“Tak penting di mana anda bermula\”, Kolej Komuniti bukan lagi pilihan kedua

GOMBAK – “Tak penting di mana anda bermula, yang penting di mana anda akan berakhir,” menjadi prinsip yang terus diangkat dalam memperkasa hala tuju pendidikan kemahiran negara, khususnya melalui peranan besar Kolej Komuniti.

Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ts. Abdul Razak Sabtu berkata, masyarakat kini semakin terbuka menerima kolej komuniti sebagai institusi pembangunan kemahiran merentas usia dan latar belakang.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2002, kewujudan kolej komuniti pernah dipersoal masyarakat. Ramai bertanya, makcik-makcik nak belajar apa? Akademik pun tak ada,” katanya kepada MYBERITA ketika menghadiri Program Media@PSH di Kolej Komuniti Selayang, pada Sabtu.

Namun, katanya, masa membuktikan kolej komuniti bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi telah berkembang menjadi pusat pembelajaran sepanjang hayat yang membuka ruang kepada pelbagai lapisan masyarakat untuk menambah kemahiran, meningkatkan taraf hidup dan menjana pendapatan.

Menurut Abdul Razak, promosi awal kolej komuniti dibuat secara agresif, termasuk di stesen bas dan pasar malam bagi memberi pendedahan kepada orang ramai tentang peluang yang ditawarkan.

“Hari ini, kita lihat penyertaan sangat menggalakkan, antara 60 hingga 70 peratus peserta adalah wanita, khususnya golongan ibu tunggal yang mahu menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Tambah beliau, banyak peserta kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan hasil kemahiran yang dipelajari seperti memasak, membuat kek, menjahit dan lain-lain. Malah, kolej komuniti sentiasa responsif terhadap keperluan komuniti setempat dengan menyediakan kemudahan dan modul latihan mengikut permintaan.

“Walaupun setiap kolej komuniti ada bidang khusus, kita tetap sediakan bengkel memasak, mesin jahit dan macam-macam lagi mengikut keperluan komuniti,” ujarnya.

Antara kursus unik yang diperkenalkan termasuklah teknik memotong rumput secara selamat yang turut menerapkan pengetahuan asas fizik dan penyelenggaraan mesin, demi mengelakkan kerugian serta kemalangan.

BACA JUGA:  PUO jalin kerjasama strategik, sembilan syarikat tandatangan Surat Hasrat

“Kita ajar bukan saja cara potong rumput, tapi juga selenggara alat itu. Nampak macam kecil, tapi impaknya besar kepada majikan,” jelas beliau.

Malah, Abdul Razak turut menekankan sifat inklusif kolej komuniti yang terbuka kepada semua peringkat umur, dari kanak-kanak tadika hingga ke warga emas.

“Waktu cuti sekolah, kita anjurkan program untuk pelajar sekolah rendah, menengah, sampai tadika pun datang belajar. Contohnya, seni bina asas, belajar warna dan lukisan – dari kecil kita pupuk minat kepada TVET,” katanya.

Beliau turut menegaskan usaha berterusan memperkukuh pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) menerusi penambahbaikan kurikulum dan kaedah pengajaran.

“Matlamat akhirnya ialah supaya komuniti kita mampu berdikari, menjana pendapatan sendiri dan akhirnya menyumbang kembali kepada pembangunan negara,” katanya.

spot_img

TRENDING

Polis siasat video tular kenderaan persendirian guna lampu biru, siren di MEX

KUALA LUMPUR - Polis sedang menyiasat satu video tular...

Dana Inovasi Media RM30 juta tak jejas kebebasan media – Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Dana Inovasi Media dengan peruntukan...

Buat duit senyap-senyap di KLCC, 14 jurugambar haram kantoi kena kompaun DBKL

KUALA LUMPUR - Jurugambar yang menjalankan aktiviti mengambil upah...

Pemain industri ‘pergi berubat’ demi jaga imej filem Malaysia, elak terjebak dadah – Yusof Haslam

KUALA LUMPUR - Penerbit tersohor, Datuk Yusof Haslam mengakui...

Tahniah Sherry, Nazim Othman

KUALA LUMPUR - Pelakon dan pengacara terkenal Sherry Alhadad,...