KEPALA BATAS – Pemilik sebuah kedai perkakasan di sini yang ditahan polis malam Sabtu lalu selepas disyaki mengibar bendera Jalur Gemilang secara terbalik, telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, lelaki berusia 59 tahun itu dibebaskan kira-kira pukul 3 petang selepas selesai memberi keterangan kepada pihak polis berhubung insiden berkenaan.
“Polis juga telah merekodkan keterangan lebih 10 individu berkaitan kes ini. Pemilik kedai tersebut dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau bercakap kepada media selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Pulau Pinang antara Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Azizee Ismail yang dilantik sebagai Ketua Polis Negeri yang baharu, dan Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
Terdahulu, polis memaklumkan penahanan lelaki berkenaan dibuat bagi membantu siasatan selepas menerima 16 laporan berhubung insiden yang mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, kertas siasatan insiden tular itu telah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini untuk tindakan lanjut.

