KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mewujudkan jawatan warden asrama secara tetap sebagai langkah menangani kes buli yang semakin membimbangkan di sekolah berasrama penuh.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata pelantikan guru sebagai warden tidak lagi sesuai dilaksanakan memandangkan wujud pelbagai kekangan yang membebankan tugas pendidik.
“Sekarang ini tugas warden diambil dalam kalangan guru. Guru yang sama, pagi mengajar di sekolah, malam pula menjaga pelajar di asrama. Keesokannya perlu mengajar semula tanpa rehat mencukupi.
“Sebenarnya cadangan ini sudah lama dibangkitkan dan sekarang tiba masanya untuk dilaksanakan secara serius,” katanya pada sidang media di Parlimen, Isnin.
Beliau berkata, gesaan itu adalah sebahagian daripada empat cadangan untuk mengelakkan insiden seperti yang menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir berulang.
Kisah pelajar Tingkatan Satu itu mendapat perhatian meluas selepas jenazahnya digali semula 23 hari selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol Lama, Sipitang, Sabah.
Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri di sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Menurut Afnan Hamimi, tiga lagi cadangan ialah melaksanakan audit dalaman termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di asrama, segera menggubal akta berkaitan buli, serta menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi menangani isu tersebut secara menyeluruh.

