BANGKOK – Penantian selama 44 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas dalam acara judo akhirnya berakhir apabila Amir Daniel Abdul Majeed mencatat sejarah pada Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.
Dalam aksi final yang berlangsung di Universiti Rajamangala, Amir Daniel memperlihatkan aksi bertenaga dalam kategori lelaki bawah 81 kilogram (kg) untuk menewaskan pencabar dari Filipina, John Viron Ferrer.
Kemenangan itu membawa erti besar buat Amir Daniel yang mendedikasikan pingat emas tersebut khas buat Allahyarham bapanya, yang meninggal dunia secara mengejut ketika beliau sedang menjalani latihan di luar negara.
“Saya buat semua ini untuk arwah ayah. Dia meninggal dunia secara mengejut sewaktu saya bersiap sedia untuk pulang ke tanah air selepas selesai latihan di Mongolia. Ketika dalam gelanggang, saya tidak fikir apa-apa selain mahu lakukan yang terbaik. Saya bawa semangat arwah ayah dalam perlawanan ini,” katanya.
Amir Daniel, yang sebelum ini meraih gangsa di edisi Vietnam dan Kemboja, mengakui dia berasa bangga dapat memecahkan dominasi negara lain dalam sukan judo dan menamatkan penantian panjang ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa keyakinannya tinggi untuk meraih emas memandangkan beliau pernah menewaskan lawannya itu pada satu kejohanan sebelum ini di Indonesia.
“Saya pernah tewaskan lawan saya sebelum ini di Indonesia, jadi saya hanya memberikan yang terbaik. Saya bangga dapat menjadi atlet pertama yang pecah dominasi dan meraih pingat emas ini,” ujarnya.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi sejarah buat Malaysia, malah memberikan inspirasi besar kepada atlet muda dalam bidang judo untuk terus berusaha mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

