KUANTAN – Seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa memijak al-Quran serta memuat naik kandungan komunikasi jelik melampau di media sosial baru-baru ini dikenakan tindakan dibuang daripada universiti.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr. Yatimah Alias berkata, proses tatatertib terhadap pelajar berkenaan yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) telah selesai dilaksanakan.
Menurut beliau, Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UMPSA telah bersidang pada 9 Mac lalu sebelum membuat keputusan tersebut.
“Berdasarkan prosiding tatatertib, pelajar didapati bersalah dan dikenakan hukuman dibuang daripada universiti mengikut Kaedah 58, Kaedah-kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024,” katanya dalam satu kenyataan.
Yatimah berkata, tindakan tegas itu diharap menjadi pengajaran kepada seluruh warga UMPSA, sama ada pelajar mahupun staf, agar sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan serta tidak mencemarkan nama baik universiti.
Tambahnya, pihak universiti tidak akan berkompromi dengan sebarang penyebaran kandungan yang menghasut kebencian, khususnya melibatkan isu 3R sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam di negara ini.
Terdahulu media melaporkan, pelajar berusia 21 tahun terbabit didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial pada bulan lalu.
Bagaimanapun, S. Vikneswaran mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan terbabit di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad dan minta dibicarakan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain mengarahkannya melapor diri di balai polis setiap bulan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 April ini. -MYBERITA

