Rabu, 17 Jun 2026

Fattah Amin, Amira Othman nafi terlibat insiden tular pembantu rumah

KUALA LUMPUR – Pasangan selebriti tanah air, Fattah Amin dan Amira Othman tampil menegaskan pendirian tegas menafikan sebarang kaitan dengan satu insiden keganasan fizikal terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia yang tular di media sosial baru-baru ini, selepas nama mereka dikaitkan secara tidak sah melalui penyebaran kandungan fitnah.

Melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan firma guaman Arief & Iskandar Advocates & Solicitors, kedua-dua selebriti itu menjelaskan bahawa mereka bukan individu yang dipaparkan dalam video berdurasi 3 minit 29 saat yang tular pada 13 Jun lalu, sekali gus menafikan penglibatan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam insiden berkenaan.

Peguam yang mewakili Fattah dan Amira memaklumkan, penularan video tersebut telah mencetuskan pelbagai hantaran berunsur fitnah di platform media sosial termasuk Threads, Instagram dan Facebook, apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengaitkan mereka dengan kejadian itu.

Menurut kenyataan sama, terdapat juga dakwaan bahawa gambar asal yang memaparkan kedua-dua selebriti bersama individu lain dalam video berkenaan telah disunting serta dimuat naik semula dengan kapsyen berunsur provokasi, selain dipercayai dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga menimbulkan persepsi palsu.

“Kami mempunyai arahan tegas daripada anak guam untuk menafikan segala kenyataan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap mereka. Anak guam kami bukan individu dalam klip video berkenaan dan tidak terbabit dengan insiden itu,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, peguam berkenaan turut menjelaskan bahawa penyebaran dakwaan tidak berasas itu telah mengakibatkan anak guam mereka berdepan kecaman serta gangguan reputasi, selain menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan peribadi.

Sehubungan itu, Fattah dan Amira menyeru orang ramai agar menghentikan penyebaran maklumat palsu serta menurunkan sebarang hantaran yang mengandungi fitnah, selain memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkannya.

Mereka pada masa sama merakamkan penghargaan kepada peminat dan orang ramai yang terus memberikan sokongan serta kepercayaan sepanjang isu tersebut tular di media sosial.

Wani Adawiyah
Wani Adawiyah
waniadawiyah@portalmyberita.com