Selasa, 28 Julai 2026
spot_img
PendidikanKPT kini ada 'pelan' hanya tiga jam tangani krisis 

KPT kini ada ‘pelan’ hanya tiga jam tangani krisis 

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan setiap isu atau krisis yang melibatkan kementerian, jabatan, agensi dan universiti awam dapat ditangani dalam tempoh seawal tiga jam menerusi pelancaran Manual Pengurusan Isu dan Krisis Edisi 1/2026.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata manual tersebut menjadi panduan strategik bagi memperkukuh komunikasi organisasi agar setiap isu dapat diurus secara pantas, tepat dan berkesan dalam era penyebaran maklumat yang semakin mencabar.

“Realiti baharu menuntut warga kementerian bertindak sebagai satu pasukan pengurusan krisis yang mantap dan mampu memberi respons terhadap sesuatu dakwaan dalam tempoh sesingkat tiga jam,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan manual itu merupakan langkah proaktif KPT untuk memastikan kementerian terus cemerlang sebagai pengurus ekosistem pendidikan tinggi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, setiap warga KPT juga perlu memainkan peranan sebagai ‘duta kecil’ dalam mempertahankan dasar serta menjelaskan fakta kepada masyarakat, khususnya berkaitan dasar pengantarabangsaan universiti tempatan yang menjadi bukti pengiktirafan dunia terhadap kualiti pendidikan negara.

“Seluruh warga KPT perlu bertindak sebagai ‘duta kecil’ yang bertanggungjawab menjawab pelbagai tohmahan, khususnya mengenai dasar pengantarabangsaan universiti tempatan yang membuktikan kualiti pendidikan negara diiktiraf dunia,” katanya.

Manual yang dibangunkan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK) KPT itu merupakan hasil kerjasama pegawai perhubungan awam di jabatan, agensi dan universiti awam seluruh negara menerusi beberapa siri libat urus serta perbincangan.

Dokumen berkenaan akan dijadikan rujukan standard di semua jabatan, agensi dan universiti awam bagi memastikan setiap isu atau krisis dapat ditangani secara lebih sistematik, selaras dan berkesan.

Dalam perkembangan sama, Dr. Zambry berkata Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar tempatan akan menjadi kompas utama dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara serta melahirkan graduan berilmu yang seimbang dari aspek intelektual, nilai kemanusiaan dan daya saing global.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-