PUTRAJAYA – Kerajaan memperkukuh kapasiti sistem kesihatan awam negara apabila meluluskan 13,343 jawatan baharu tanpa tukar ganti di Kementerian Kesihatan (KKM), sekali gus membolehkan 256 fasiliti kesihatan baharu serta fasiliti yang dinaik taraf beroperasi dengan lebih berkesan.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kelulusan itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.25 bilion setahun dan disifatkan sebagai antara langkah strategik bagi meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Menurut JPA, daripada keseluruhan jawatan yang diluluskan, sebanyak 7,218 jawatan melibatkan lima skim perkhidmatan utama iaitu 1,197 Pegawai Perubatan, 239 Pegawai Pergigian, 339 Pegawai Farmasi, 3,471 Jururawat serta 1,972 Penolong Pegawai Perubatan.
“Baki 6,125 jawatan melibatkan pelbagai skim perkhidmatan lain yang menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan lebih berkualiti kepada rakyat.
“Dengan kelulusan ini, JPA telah memperakukan sebanyak 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada KKM sejak 2019, sekali gus memperkukuh keupayaan sistem kesihatan negara bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, JPA memaklumkan kerajaan turut memperkukuh pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) menerusi pengukuhan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di semua kementerian selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025.
Menurut JPA, langkah itu bertujuan memperkemas penyelarasan, pemantauan dan pelaksanaan 132 ikhtiar PuTERA35 di seluruh kementerian serta agensi kerajaan melalui pemantapan fungsi dan tadbir urus UPB.
“Ini termasuk penjenamaan semula Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) kepada UPB serta penyeliaan di bawah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) atau Timbalan Ketua Setiausaha yang menerajui dasar dan perancangan strategik kementerian,” katanya.
JPA berkata, kedua-dua inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan sektor awam sebagai pemacu pembangunan negara melalui pengukuhan sistem kesihatan awam dan pelaksanaan PuTERA35 yang lebih berkesan.
“Kerajaan akan terus memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap, inklusif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara,” menurut JPA.


