KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Chan Wen Tse muncul sebagai satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan selepas mencatat kemenangan bergaya di suku akhir, hari ini.
Pasangan yang baru digandingkan itu menewaskan beregu Indonesia, Bobby Setiabudi-Melati Daeva Oktavianti dengan keputusan 22-20, 21-10 dalam masa hanya 28 minit di Arena Taipei. Aksi cemerlang mereka membuktikan persefahaman yang kukuh walaupun ini merupakan kejohanan pertama mereka bersama.
Mereka bakal berdepan satu lagi cabaran dari Indonesia esok apabila dijadualkan menentang pasangan Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu yang sebelum ini menewaskan gandingan tuan rumah, Ye Hong Wei-Nicole Chan 21-16, 21-16.
Sementara itu, tiga lagi wakil negara terpaksa akur dengan kekalahan di suku akhir. Perseorangan lelaki, Justin Hoh tunduk kepada pemain Taiwan, Wang Tzu Wei 13-21, 15-21, manakala K. Letshanaa dalam aksi perseorangan wanita tewas kepada pilihan kedua dari Korea Selatan, Sim Yu Jin dengan keputusan 16-21, 21-13, 15-21.
Pasangan Loo Bing Kun-Toh Ee Wei pula kecundang dalam pertarungan tiga set menentang gandingan Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Siti Fadia Silva 22-20, 17-21, 12-21.
Kini tumpuan peminat negara tertumpu kepada Tang Jie dan Wen Tse untuk membawa harapan Malaysia ke perlawanan akhir.