KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal menegaskan tiada sebarang dendam disimpan terhadap komposer Ajai susulan isu membabitkan hak cipta lagu kumpulan 4U2C yang sebelum ini mencetuskan kontroversi.
Menurut AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 53, kenyataan yang dikeluarkan beliau sebelum ini hanyalah untuk memperbetulkan persepsi orang ramai mengenai isu berkenaan, terutamanya menjelang penganjuran We 4U2C Live In Concert yang bakal berlangsung pada 15 September depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
“Apabila Ajai mohon maaf, kami terima dengan hati terbuka serta menghargai usahanya. Lagipun, dulu 4U2C dan Ajai bernaung di bawah satu syarikat.
“Saya sendiri baik dengan Ajai dan dua lagu dalam konsert nanti, Kembalilah Fiona dan Dusta, merupakan ciptaan beliau. Permohonan maaf itu juga bukan hanya kepada saya, tetapi kepada 4U2C, agar orang luar memahami isu hak cipta sebenar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Majlis tersebut diadakan sempena persiapan menjelang konsert yang menandakan kemunculan semula kumpulan hip-hop ikonik era 90-an itu ke pentas besar.
AC Mizal turut menjelaskan bahawa beliau belum sempat bertemu Ajai secara peribadi memandangkan kedua-dua pihak sibuk dengan persiapan projek masing-masing.
“Hal ini bukan isu peribadi. Saya bercakap mewakili kumpulan dan ingin memperbetulkan kenyataan. Tiada perasaan marah atau benci. Alhamdulillah, semuanya selesai secara baik. Harapnya tiada lagi kekeliruan atau fitnah selepas ini.
“Malah, insiden ini juga memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami realiti industri seni, terutama berkaitan hak cipta,” tambahnya.
Sebelum ini, AC Mizal meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Ajai yang mendakwa konsert 4U2C tidak boleh dianjurkan tanpa kebenaran pemilik lagu. Kenyataan itu kemudiannya dibalas AC Mizal melalui peguamnya, yang menuntut permohonan maaf secara terbuka dalam masa 24 jam atau berdepan tindakan undang-undang.
Kontroversi bertambah hangat apabila penerbit Man Senoi dan isteri, Mama Rap, turut mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai konsert tersebut, walaupun memegang hak cipta lagu 4U2C.
Dengan permohonan maaf Ajai, isu berkenaan dilihat sudah ditamatkan secara matang, membuka jalan untuk kumpulan 4U2C kembali beraksi di pentas tanpa sebarang halangan perundangan.

