KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerbu premis anak syarikat milik penuh NationGate Holdings Bhd, NationGate Solution (M) Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan penyeludupan logam sekerap.
Menurut kenyataan rasmi NationGate yang dikeluarkan kepada Bursa Malaysia hari ini, serbuan tersebut berlaku pada hari Isnin lalu.
“Pihak lembaga melihat dakwaan ini dengan sangat serius dan telah mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan SPRM mendapat kerjasama penuh serta melindungi integriti penyiasatan,” ujar kenyataan itu.
NationGate menegaskan komitmen mereka terhadap piawaian tertinggi tadbir urus korporat, akauntabiliti dan ketelusan dalam operasi syarikat.
Syarikat turut memberi jaminan bahawa operasi perniagaan tidak akan terjejas akibat serbuan tersebut dan langkah-langkah interim yang sesuai telah pun disediakan.
Lembaga Pengarah NationGate akan membuat pengumuman lanjut mengenai perkembangan material yang mematuhi keperluan penyenaraian Bursa Malaysia Securities Berhad dan undang-undang yang berkaitan.
Pada waktu rehat tengah hari, harga saham NationGate meningkat sebanyak lapan sen kepada RM1.69 dengan jumlah dagangan sebanyak 27.12 juta saham.


