KUALA LUMPUR – Kuok Hui Kwong, anak kepada tokoh perniagaan terkemuka Malaysia Robert Kuok, akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shangri-La Asia berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Menurut laporan The Straits Times, Hui Kwong, 47, sebelum ini telah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif syarikat tersebut sejak Jun 2016 dan dilantik sebagai Pengerusi pada Januari 2017.
Shangri-La Asia yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong dan Singapura berkata, penyatuan peranan Pengerusi dan CEO di bawah kepimpinan beliau dijangka dapat memperkukuh kesepaduan strategik serta memastikan pelaksanaan operasi yang konsisten di seluruh organisasi.
Bekas CEO, Lim Beng Chee, telah bersara pada penghujung 2022 namun masih kekal dalam lembaga pengarah sebagai Pengarah Bukan Eksekutif.
Dalam laporan yang sama, Hui Kwong dilaporkan bakal menerima gaji asas bulanan sebanyak S$94,300 (kira-kira RM312,000), tidak termasuk bonus berasaskan prestasi dan manfaat pencen.
Beliau juga memiliki pegangan saham langsung dan tidak langsung sebanyak 95.57 juta unit, bersamaan 2.7 peratus daripada keseluruhan syarikat Shangri-La Asia.
Shangri-La Group, yang diasaskan oleh Robert Kuok pada 1971, kini mengendalikan lebih 100 buah hotel di seluruh dunia di bawah empat jenama utama iaitu Shangri-La, Kerry, Hotel Jen, dan Traders.


