Sabtu | 15 November 2025
spot_img

Sime Darby Property raih empat anugerah kelestarian

KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Berhad mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah terkemuka yang mengutamakan kelestarian apabila meraih empat anugerah utama menerusi dua platform anugerah industri berprestij baru-baru ini.

Pada majlis The Edge Malaysia Best Managed & Sustainable Property Awards 2025, Sime Darby Property menerima pengiktirafan tertinggi melalui Anugerah Pemaju Bertanggungjawab: Pembangunan Mampan oleh The Edge Malaysia.

Dalam acara sama, projek Bandar Bukit Raja Wetland Townpark turut mencuri tumpuan apabila menggondol dua anugerah penting iaitu Editor\’s Choice Award for Excellence in Green Blue Infrastructure serta anugerah Emas bagi The Edge Malaysia–ILAM (Institute of Landscape Architects Malaysia) Sustainable Landscape Awards dalam kategori Perancangan Landskap.

Bandar Bukit Raja Wetland Townpark diiktiraf sebagai penanda aras baharu dalam reka bentuk landskap beriklim tropika yang menyepadukan elemen hijau dan biru secara mampan. Ia mencerminkan pendekatan Sime Darby Property yang berasaskan alam semula jadi demi kesejahteraan komuniti dan kesihatan ekologi.

Selain itu, Pusat Pengetahuan Hutan Hujan Elmina (Elmina Rainforest Knowledge Centre – ERKC) turut menerima anugerah Perak dalam kategori Pemuliharaan Biodiversiti (Syarikat Besar) sempena penganugerahan The Star ESG Positive Impact Awards 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, pencapaian ini adalah bukti komitmen kukuh syarikat dalam menjadikan kemampanan sebagai prinsip asas dalam pembangunan.

“Kemenangan ini mengesahkan bahawa kemampanan bukan sekadar soal pemikiran, sebaliknya merupakan sebahagian daripada cara kami membentuk lokasi untuk hari esok.

“Sebagai salah satu pemaju hartanah utama di Malaysia, kami mempunyai tanggungjawab untuk memimpin melalui teladan menerusi reka bentuk persekitaran bandar yang memupuk daya tahan komuniti serta menyokong keharmonian antara manusia dan alam semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Hazriena Hamdan
Hazriena Hamdan
hazriena@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan