Jumaat | 14 November 2025
spot_img

Thong Bowl terima pensijilan Halal JAKIM, cipta rekod ‘ASEAN Book of Records’

PUTRAJAYA – Restoran terkenal dengan hidangan Sliced Australian Beef Noodle, Thong Bowl, secara rasmi menerima pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi cawangannya di IOI City Mall, Putrajaya.

Kejayaan ini turut diperkukuh dengan pencapaian membanggakan apabila jenama makanan dan minuman (F&B) tempatan itu tersenarai dalam ASEAN Book of Records, selepas sebelum ini diiktiraf dalam Malaysia Book of Records.

Penasihat Halal Thong Bowl, Aamir, berkata pengiktirafan tersebut melambangkan komitmen tinggi syarikat dalam memastikan setiap aspek operasi mematuhi piawaian Halal, bukan sekadar memenuhi syarat peraturan.

“Proses mendapatkan pensijilan Halal memerlukan ketelitian, kesabaran dan pematuhan penuh terhadap standard JAKIM. Thong Bowl memang serius memastikan semua aspek operasi kami patuh syariah,” katanya.

Dengan penganugerahan pensijilan itu, pelanggan Muslim kini dapat menikmati hidangan di Thong Bowl dengan keyakinan sepenuhnya terhadap status Halal produk dan penyediaannya.

Majlis pengumuman turut diserikan dengan kehadiran penyanyi terkenal Datin Alyah dan Bella Astillah, selain Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta beberapa pempengaruh media sosial yang memeriahkan suasana.

Acara tersebut juga menyaksikan pelancaran menu baharu, Thai Tarik, iaitu minuman teh tarik dengan sentuhan citarasa Thailand, di samping hidangan istimewa Thong Bowl yang menjadi tarikan utama para tetamu.

Thong Bowl, sebagai jenama tempatan, terus komited menyajikan hidangan mi daging autentik menggunakan bahan-bahan segar berkualiti tinggi dalam suasana mesra pelanggan, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu destinasi gastronomi pilihan rakyat Malaysia.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan