KUALA LUMPUR – Ribuan rakyat Malaysia membanjiri Dataran Merdeka malam tadi bagi meraikan sambutan ambang kemerdekaan ke-68 yang penuh warna-warni dan meriah.
Menerusi tinjauan MYBERITA seawal jam 7 petang Sabtu, dataran bersejarah itu sudah dipenuhi pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka yang datang bersama anak-anak dan keluarga dari luar Kuala Lumpur. Suasana lebih bermakna apabila pengunjung tanpa mengira negeri bersatu hati meraikan semangat Malaysia Madani.
Persembahan konsert dan segmen patriotik menjadi kemuncak malam yang turut menampilkan barisan artis popular tanah air antaranya Hael Husaini, Nadeera Zaini dan Bella Astillah termasuk pelakon Liza Abdullah yang berjaya memukau ribuan penonton.
Seorang pengunjung dari Johor, Mohd Faizal, 35, berkata pengalaman menyambut ambang kemerdekaan di Dataran Merdeka cukup istimewa.
“Saya sanggup datang dari Johor Bahru bersama isteri dan anak-anak kerana mahu rasai sendiri suasana meriah di sini. Bila lihat ribuan rakyat berkumpul, terasa betapa kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Bagi seorang lagi pengunjung, Nur Syafiqah, 27, dari Terengganu, peluang hadir ke acara ini memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan.
“Ini kali pertama saya datang ke Dataran Merdeka untuk sambutan ambang merdeka. Persembahan artis sangat menghiburkan, dan bila semua sama-sama nyanyi lagu patriotik, memang rasa sebak dan bangga jadi rakyat Malaysia,” ujarnya.
Detik tepat jam 12 malam dimeriahkan dengan laungan “Merdeka!” sebanyak tujuh kali, disusuli persembahan bunga api berkilauan yang menerangi langit ibu kota, mengakhiri malam penuh bersejarah itu dengan semangat kebersamaan dan cinta tanah air.
Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut diserikan dengan kehadiran Datuk Bandar Kuala Lumpur yang sama-sama bersama orang ramai mengira detik menuju 31 Ogos.


