JAKARTA – Seorang pegawai polis Indonesia dipecat selepas didapati bersalah melanggar etika berhubung insiden kematian seorang pemandu ojek yang mencetuskan gelombang protes besar-besaran di seluruh negara.
Protes yang pada awalnya dipacu oleh isu ketidaksamarataan ekonomi dan keistimewaan mewah ahli parlimen bertukar ganas selepas rakaman tular menunjukkan sebuah kenderaan polis merempuh dan membunuh Affan Kurniawan, 21, pada Khamis lalu.
Jurucakap Polis Nasional, Trunoyudo Wisnu Andiko, berkata pegawai bernama Cosmas K. Gae didapati bertindak tidak profesional ketika kejadian.
“Tindakannya adalah perbuatan yang tercela,” katanya sambil menegaskan hukuman pemecatan dijatuhkan terhadap Cosmas sebagai anggota polis nasional.
Media tempatan melaporkan Cosmas berada di dalam kenderaan yang merempuh Affan, namun pihak polis tidak memperincikan peranan sebenar beliau. Cosmas mempunyai tiga hari untuk mengemukakan rayuan, dan dalam kenyataannya menegaskan bahawa beliau hanya menjalankan tugas mengekalkan ketenteraman awam.
“Demi Tuhan, tidak ada niat untuk mencederakan sesiapa,” katanya dalam siaran televisyen tempatan.
Selain Cosmas, enam lagi pegawai polis turut ditahan berhubung insiden berkenaan.
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh sepanjang protes, termasuk di Jakarta, Makassar, Jawa Tengah dan Papua. Sementara itu, Badan Hak Asasi (KontraS) melaporkan sekurang-kurangnya 20 individu masih hilang sejak Isnin.
Gelombang protes kini semakin reda selepas beberapa keistimewaan ahli parlimen ditarik balik, manakala pihak tentera turut dikerahkan ke ibu negara pada Isnin sebagai amaran kepada penunjuk perasaan.

