KUALA LUMPUR – “Saya memang suka seni,” itulah luahan jujur Nasuha Sulaiman yang kini mencuri perhatian ramai selepas membuat keputusan berani meninggalkan kerjaya lamanya demi mengejar minat dalam bidang lakonan.
Nasuha sebelum ini berkhidmat sebagai pereka dalaman selama lima tahun sebelum beralih menjadi pencipta kandungan digital.
Minatnya terhadap seni sudah terbit sejak kecil apabila mengambil jurusan seni bina atas dorongan ayah, namun jiwanya lebih tertarik kepada penghasilan video kreatif.
“Selepas lima tahun jadi interior designer, saya jumpa cinta sebenar saya dalam dunia content creation. Saya memang seorang yang ‘camera friendly’, jadi bila ada peluang untuk naik ke pentas yang lebih besar, saya terus grab,” katanya.
Peluang berlakon hadir tanpa disangka apabila dia didekati pengarah, Kak Eyra, yang menawarkan watak dalam drama Thariq Ridzuwan: His Treasure.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman atau latihan formal, Nasuha menyifatkan pengalaman itu sebagai proses pembelajaran berharga yang membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
“Masa mula-mula masuk set, saya memang takut, terutama dengan senior-senior. Tapi saya masuk dengan niat nak belajar, jadi saya tak ada masalah dengan production. Semua yang keluar masa berlakon datang ikhlas dari hati saya,” ujarnya.
Nasuha mengakui wujud tanggapan negatif terhadap penglibatan influencer dalam industri lakonan, namun baginya media sosial merupakan platform yang memberi ruang luas buat bakat baharu menonjolkan diri.
“Orang kata influencer senang je dapat peluang, tapi bagi saya disiplin itu datang dari individu. Sosial media memang jadi kelebihan zaman sekarang, dan saya bersyukur sebab dari situ saya dapat masuk dalam bidang ni,” katanya.
Tambahnya, meninggalkan kerjaya lama bukanlah keputusan mudah kerana kehidupannya pernah melalui fasa ‘rollercoaster’ selepas berhenti belajar suatu ketika dahulu.
Namun, keberanian untuk jujur dengan diri sendiri mendorongnya memilih jalan baharu.
“Dulu saya seorang yang boring. Sekarang saya belajar untuk jadi fun dan terima siapa diri saya. Saya usaha, saya tawakal, dan saya letak semua pada Allah. Inilah saya sekarang, Nasuha yang baru,” katanya.




