KEPALA BATAS – Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terbabas lalu melanggar tembok Plaza Tol Sungai Dua, Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian pemandu kenderaan jenis Perodua Aruz.
Seorang lagi penumpang hadapan yang juga warga Pakistan, dikenali sebagai Azhar Iqbal, 42, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.43 malam sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas yang diketuai oleh Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Mohamad Rodzi Mat Saad.
“Insiden tersebut melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang terbabas sebelum merempuh tembok plaza tol.
“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.07 tengah malam,” katanya.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.



