NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut baik pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pelan hala tuju pendidikan negara yang memberi penekanan kepada kesejahteraan holistik serta pembangunan ekosistem pembelajaran kondusif di institusi pengajian tinggi.
Rancangan strategik nasional itu turut menekankan keperluan penyediaan kemudahan perumahan pelajar yang selesa, selamat dan berdaya huni, selaras dengan aspirasi melahirkan pelajar yang seimbang dari aspek akademik, emosi dan sosial.
Seiring dengan agenda nasional tersebut, USIM mengangkat inisiatif “Hostel Pelajar Selesa” sebagai antara langkah strategik universiti bagi menangani isu kesukaran pelajar mendapatkan rumah atau bilik sewa. Isu itu termasuk keadaan pelajar yang terpaksa berkongsi sebuah rumah dengan bilangan penghuni yang ramai berikutan kekangan penawaran serta peningkatan kos sewaan di sekitar kampus.
Melalui inisiatif berkenaan, USIM menyediakan kemudahan perumahan pelajar yang terancang dan sistematik melibatkan enam buah kolej kediaman dengan kapasiti keseluruhan seramai 5,358 pelajar, sekali gus menawarkan alternatif yang lebih selesa, selamat dan berdaya huni berbanding penempatan tidak terancang di luar kampus.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, berkata penyediaan kemudahan perumahan pelajar yang kondusif merupakan elemen penting dalam menyokong kejayaan akademik serta kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.
“USIM menyambut baik Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Inisiatif Hostel Pelajar Selesa yang dilaksanakan universiti ini selari dengan hasrat nasional dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar terus menjadi keutamaan,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan perumahan pelajar yang selesa bukan sahaja berfungsi sebagai tempat tinggal, malah bertindak sebagai persekitaran pembelajaran kedua yang menyokong kesihatan mental, emosi dan fizikal pelajar.
Tambahnya, pihak universiti sentiasa komited menambah baik pelaksanaan inisiatif itu menerusi penyelenggaraan berjadual, peningkatan fasiliti serta pengukuhan aspek keselamatan dan kebersihan bagi memastikan persekitaran kediaman pelajar sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Melalui inisiatif Hostel Pelajar Selesa, USIM berusaha memastikan pelajar dapat menumpukan sepenuhnya kepada pembelajaran tanpa dibebani tekanan mencari kediaman yang sesuai, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035,” ujarnya.
Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 diyakini mampu memperkukuh sistem pendidikan negara secara menyeluruh, dan USIM akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong agenda tersebut demi melahirkan graduan yang berilmu, berakhlak dan seimbang, berteraskan nilai kemanusiaan serta kesejahteraan sejagat.




