KUALA LUMPUR – Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 mula disalurkan bermula hari ini dengan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion, melibatkan manfaat kepada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan di seluruh negara.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), penerima yang layak akan menerima bantuan antara RM100 hingga RM500, bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing.
MoF dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penyaluran STR selaras dengan usaha Kerajaan Madani bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat secara lebih berkesan melalui penstrukturan semula pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bulanan bagi tahun ini.
“Di bawah penambahbaikan ini, lebih lapan juta rakyat layak menerima bantuan Sara secara bulanan, termasuk 400,000 daripada golongan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih.
“Ini menjadikan Sara sebagai bentuk bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.
MoF menjelaskan, STR diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan dengan pendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih.
Sementara itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan keseluruhan STR dan Sara bagi tahun ini mencecah RM15 bilion, kekal sebagai yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.
“Kerangka Ekonomi Madani mendambakan lantai kehidupan rakyat dinaikkan agar semua mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.
“Apabila rakyat terbela dan keperluan asas dipenuhi, nescaya siling ekonomi dapat kita naikkan bersama dengan lebih bermaya dan lestari,” katanya.
Bagi mengurangkan risiko keciciran, MoF memaklumkan permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Bagaimanapun, kelayakan STR adalah tertakluk kepada had pendapatan yang ditetapkan serta proses semakan dan verifikasi bersama pelbagai agensi bagi mengesahkan maklumat pemohon.
“Bagi pemohon baharu, selain had pendapatan, semakan berkala akan dibuat setiap suku tahunan meliputi pemilikan kediaman, kenderaan, perniagaan serta rekod bekerja atau menetap di luar negara,” jelas MoF.
Dalam pada itu, MoF mengingatkan semua pemohon agar memberikan maklumat yang tepat dan benar, sambil menegaskan tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya didapati berlaku pemalsuan maklumat, termasuk penarikan balik bantuan yang diluluskan.
MoF turut menasihatkan penerima STR supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, serta menegaskan kementerian itu tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp.
“Penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih,” katanya.

