KUALA LUMPUR – Sebanyak 58 cawangan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara melaksanakan solat sunat jenazah ghaib bagi bekas pelajar, Ruby Adira Batrieisya Mohd Alawi yang terkorban dalam kebakaran di Raub, Pahang, awal pagi semalam.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif itu sebagai tanda solidariti dan penghormatan terakhir buat Allahyarhamah serta empat ahli keluarganya.
“Terima kasih kepada semua 58 MRSM yang mengadakan solat jenazah ghaib kepada Allahyarhamah Ruby Adira dan empat ahli keluarganya yang terkorban dalam tragedi menyayat hati di Raub.
“Arwah merupakan bekas pelajar MRSM Bentong. Insya-Allah, MARA akan membantu dua ahli keluarga yang masih tinggal khususnya kakak sulung dan adik lelaki sehingga mereka menamatkan pengajian ke peringkat tertinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam kejadian di Kampung Pamah Kulat, Dong itu, lima sekeluarga maut selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran.
Mangsa yang terkorban ialah Ruby Adira bersama bapanya, Mohd Alawi Muhammad, 56; ibunya, Zaleha Adam @ Ibrahim, 44; serta dua adiknya, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.
Dua lagi adik-beradik mangsa, Ruby Adalia Balqis, 19, dan Ahmad Balia Murqam, 15, terselamat kerana berada di asrama ketika kejadian.
Terdahulu, MARA turut menawarkan dua beradik berkenaan sebagai anak angkat agensi itu bagi memastikan kebajikan dan pendidikan mereka terus terpelihara.

