KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dijangka kembali memperkukuhkan United Malays National Organisation (UMNO) dalam masa terdekat selepas menyatakan hasrat untuk menyertai semula parti itu.
Perkara tersebut dikongsikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Reezal Merican Naina Merican menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), kepulangan pemimpin itu merupakan berita menggembirakan yang disifatkan sebagai hadiah bermakna sempena Hari Nuzul Al-Quran.
“Berita gembira buat saya di malam Nuzul Al-Quran: KJ umum hasrat kembali ke UMNO. Almarhum pasti gembira,” tulisnya.
Terdahulu, Khairy menerusi podcast Keluar Sekejap memaklumkan beliau telah mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar untuk menyediakan draf surat permohonan bagi tujuan kembali menyertai parti itu.
“Bolehlah Bobby (Raja Syahrir) mula draf surat permohonan menyertai Rumah Bangsa, saya hendak tengok draf surat berkenaan,” katanya.
Hasrat itu dilihat sebagai respons kepada kenyataan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini membuka pintu “Rumah Bangsa” kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan.
Untuk rekod, Khairy merupakan antara lima pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan disiplin pada tahun 2023, bersama Ketua UMNO Sembrong, Hishammuddin Hussein serta Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Turut digantung keahlian selama enam tahun ialah Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang.

