KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengambil bahagian dalam hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh multilateralisme, mereformasi sistem ekonomi dan kewangan global, serta memperkenalkan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) yang beretika dan bertanggungjawab.
Dalam sesi intervensinya, Anwar menegaskan bahawa masa depan dunia tidak boleh terus dibelenggu oleh pertembungan blok atau ketegangan geopolitik, sebaliknya harus diasaskan kepada semangat kerjasama, perkongsian kemakmuran dan komitmen kolektif ke arah masa depan digital yang adil, inklusif dan selamat untuk semua.
\”Saya memandang serius senario ‘geopolitics of tech’ atau teknologi yang dimanipulasi oleh kuasa geopolitik, yang bukan sahaja menggugat kestabilan, malah menyekat inovasi serta kesejahteraan rakyat dan negara,\” katanya.
Anwar menegaskan bahawa multilateralisme kini bukan lagi pilihan, tetapi suatu keperluan mutlak dalam menjamin kestabilan global, keadilan ekonomi serta melindungi kedaulatan negara-negara membangun yang berdepan cabaran dalam arus peralihan geopolitik dan teknologi.
Beliau turut menekankan pendirian Malaysia yang memilih pendekatan kerjasama berprinsip dan bukannya konfrontasi, berlandaskan nilai keadilan, keterangkuman serta menghormati kedaulatan sejagat.
Dalam ucapannya, Anwar juga menggesa agar komuniti antarabangsa tidak terus membisu terhadap jenayah kemanusiaan di Gaza dan kekejaman yang berlaku terhadap rakyat Iran. Menurutnya, BRICS mesti bangkit sebagai suara keadilan sejagat yang menolak sebarang bentuk penindasan dan menjunjung maruah insan sejagat.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia komited memperjuangkan agenda yang seiring dengan aspirasi BRICS, termasuk reformasi sistem perdagangan global yang lebih adil dan berpaksikan pembangunan.
Dalam aspek teknologi pula, Malaysia menyambut baik fokus BRICS terhadap tadbir urus AI yang berasaskan etika dan kesejahteraan bersama. Anwar menjelaskan bahawa Malaysia telah melancarkan Pelan Hala Tuju AI Negara serta Garis Panduan Tadbir Urus AI, dan kini memimpin usaha penubuhan Jaringan ASEAN AI untuk memperkukuh keupayaan, ketelusan dan piawaian serantau dalam pembangunan teknologi canggih.
“Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan negara-negara BRICS dan rakan lain bagi membentuk sistem ekonomi global yang lebih saksama, persekitaran digital yang selamat serta multilateralisme yang benar-benar berfungsi untuk masa depan bersama umat manusia,” kata Anwar mengakhiri intervensinya.
Sidang kemuncak ini dijangka menjadi medan penting untuk negara-negara membangun memperkukuh suara kolektif mereka dalam mencorakkan hala tuju dunia yang lebih seimbang dan berperikemanusiaan.

